Aplikasi RakanMET platform lapor fenomena cuaca

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini melancarkan aplikasi RakanMET yang merupakan platform perkongsian maklumat terkini keadaan cuaca, bencana atau gempa bumi dari semasa ke semasa. Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, aplikasi itu bertujuan memudahkan orang ramai melaporkan sebarang kejadian di kawasan mereka menerusi telefon bimbit. Menurutnya, pelancaran aplikasi itu adalah inisiatif kementeriannya menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk memperkasa sistem penyampaian maklumat seperti diguna pakai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi mereka RakanCOP. Melalui aplikasi ini, orang ramai boleh melapor kejadian dan fenomena cuaca di kawasan masing-masing dan ianya juga berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dengan METMalaysia bagi mendapatkan maklumat sahih serta tepat. “Sebenarnya sebagai contoh apabila insiden gempa bumi bermagnitud 5.2 itu (di Sabah) kita pun tertanya-tanya juga apakah sedang berlaku di tempat lain, ada kesan di Kota Belud,

MADIUS merasmikan sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2018 dan pelancaran aplikasi RakanMET di Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)

di Tuaran dan sebagainya sebab pusatnya di Gunung Kinabalu. “Dengan adanya RakanMET ini semuanya maklumat dapat diperolehi serta membantu orang ramai, “katanya pada majlis merasmikan sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2018 dan pelancaran aplikasi RakanMET di Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Aplikasi RakanMET ini merupakan aplikasi kedua yang dibangun selepas aplikasi myCuaca yang telah dilancarkan pada tahun 2015. Mengulas mengenai Hari Meteorologi Sedunia 2018 yang bertemakan ‘Siap siaga cuaca; Pintar-Iklim’ itu, Madius berkata, ianya menekankan kepentingan pengetahuan dan kefahaman tentang cuaca atau iklim bagi memastikan rakyat sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana alam serta perubahan cuaca masa kini.  Untuk rekod, katanya Kerajaan telah melaksanakan beberapa projek untuk memperkasakan sistem amaran awal cuaca METMalaysia yang merangkumi model tinjauan cuaca dan sistem penyampaian maklumat cuaca dalam memantapkan kesiapsiagaan negara menghadapi cuaca ekstrem. Hari Meteorologi Sedunia disambut pada setiap 23 Mac setiap tahun oleh seluruh komuniti meteorologi di 191 buah negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) termasuklah di Malaysia.