Edotco guna buluh bina menara telco pertama negara

Anak syarikat Axiata, Edotco Group Sdn. Bhd. bercadang membina menara telekomunikasi pertama di Malaysia yang menggunakan buluh menjelang akhir tahun ini.

 Pengarah Kejuruteraan dan Teknologi kumpulan, Ir. Kumari Nalini berkata, Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Pahang telah menjalankan penyelidikan mengenai penggunaan tanaman itu dan mengenal pasti varian buluh Semantan sebagai paling sesuai untuk tujuan tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada menara telekomunikasi mampan bagi inisiatif lebih hijau di masa depan memandangkan kami menyumbang ke arah agenda nasional bagi mengurangkan sasaran pelepasan karbon sehingga 45 peratus,” katanya dalam temu bual secara berkumpulan di sini hari ini.

“Hasil penjimatan itu akan diberikan kepada penanam buluh,” katanya.

Beliau berkata, Edotco menggunakan buluh untuk membina menara telco di Bangladesh dan berhasrat berbuat demikian Pakistan dan rantau yang lain.

“Selepas dirawat, struktur buluh akan bertahan antara lima hingga 10 tahun dan kami akan membuat pemeriksaan secara bulanan,” kata Kumari.

Edotco merupakan syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serantau di Asia yang menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam sektor perkhidmatan menara telekomunikasi termasuk pemajakan menara telekomunikasi, kongsi kedudukan, tenaga, transmisi, operasi dan penyenggaraan.

Unit Axiata itu mengendali dan menguruskan portfolio bagi lebih 29,800 menara merentasi pasaran teras mereka – Malaysia, Myanmar, Bangladesh,Kemboja, Sri Lanka dan Pakistan.

Selain menggunakan bahan yang lebih lestari seperti buluh dan fiber karbon bagi strukturnya, Edotco juga menggunakan reka letak yang lebih kecil bagi mengurangkan kebergantungan terhadap keluli.

Syarikat itu juga optimis bahawa kombinasi sumber tenaga bersih dan elektrik untuk membekalkan tenaga di kawasan itu.

“Kami menggunakan tenaga asli dan boleh baharu menerusi solar, angin dan sel bahan api di tapak kami.

“Ketika ini lebih 1,000 tapak telah dilengkapi sistem tenaga boleh baharu, mengubah kebergantungan terhadap generator diesel,” katanya.

Inisiatif edotco yang telah diperakui SIRIM akan mengurangkan pelepasan karbon di setiap tapak.

Sementara itu, Ketua Seksyen Makanan, Pertanian dan Perhutanan SIRIM QAS, Radziah Mohd. Daud memuji usaha Edotco dan menggalakkan syarikat lain untuk mengikut langkah itu.

“Kesedaran mengenai pembangunan yang mampan semakin meningkat, namun masih pada tahap rendah. Kita memerlukan dasar yang lebih kukuh dan pendidikan untuk menekankan kepentingan kemampanan,” katanya.

 

 

Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/edotco-guna-buluh-bina-menara-telco-pertama-negara-1.916950

May 13th, 2019|Categories: Home Grown|