Mewakili Malaysia & memperolehi Silver Award. Produk Inovasi bertajuk “ Integrated System Of Nanotechnology And Natural Fiber In Production Of Eco-Composite Green Materials Via Simplified Dual-Steps Manufacturing Method For Automotive Inner Parts Fabrication” Oleh Malaysian Association Research Scientist (MARS).

Wan Rohila Wan Hassan telah terpilih sebagai penerima anugerah Silver Award Ikon Inovasi Malaysia dari Persatuan Penyelidikan & Inovasi Malaysia (MyRIS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (JHEPA UniMAP) dan World Invention Intellectual Property Association (WIIPA).

Majlis anugerah itu diadakan pada 14 April 2019 bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur serta disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis. Seramai 30 orang guru di seluruh Malaysia telah terpilih untuk menerima anugerah di dalam majlis tersebut.

Wan Rohila menerima anugerah khas ini berdasarkan kepada sumbangan dan jasa beliau dalam menghasilkan projek yang telah banyak memenangi anugerah dalam dan luar negara serta menjadi mentor atau penasihat kepada kumpulan pelajar MRSM Terendak sejak 2011 hingga sekarang.

Anugerah Silver Award ini diberikan kepada beliau kerana menghasilkan produk yang bertajuk Integrated System of Nanotechnology and Natural Fiber in Production of Eco-Composite Green Materials via Simplified Dual-Steps Manufacturing Method for Automotive Inner Parts Fabrication. Produk yang direka khas itu menggunakan gabungan bahan hijau Eco-Composite dan proses nanoteknologi. Teknologi multi-scaling Composite ini menguat dan mengeraskan permukaan gentian serat asli tersebut. Dua kaedah ini adalah mudah dan kosnya turut murah untuk menghasilkan panel bahagian dalam pintu kereta yang kuat, dan ringan.

“Saya menghadapi banyak cabaran untuk menghasilkan produk-produk inovasi. Antara cabaran besar yang saya hadapi ialah kekangan masa.” katanya di dalam sebuah temu bual melalui panggilan telefon oleh pegawai Bahagian Komunikasi Korporat MARA.

Ujarnya lagi, “mengajar adalah sebuah tugasan yang hakiki namun saya harus membahagikan masa sebaiknya termasuk pada waktu cuti persekolahan dan hujung minggu bagi menyiapkan projek-projek.”

Menurut guru yang mengajar subjek biologi itu, beliau telah banyak menghabiskan masanya di sekolah dan membawa pelajar-pelajar yang terlibat ke UTEM, UPM, dan UTHM untuk menggunakan peralatan dan kepakaran pensyarah di sana.

“Tidak dapat dinafikan masalah kewangan turut menjadi cabaran yang kedua untuk mencapai tahap kejayaan saya ini,”

“Kos pembelian bahan projek, sewaan mesin di universiti dan kos menguruskan pergerakan pelajar memerlukan perbelanjaan yang tinggi bagi menjayakan projek yang berkualiti serta bermutu tinggi akan tetapi ia bukan satu penghalang buat saya,” kata Wan Rohila.

Antara anugerah dan sumbangan beliau ialah:

  • Menjadi Juri Jemputan Kategori Grand Award Pertandingan The 2014 Intel International Science And Engineering Fair ( Intel -ISEF) di  Los Angeles, Usa pada 11 Mei-16 Mei 2014.
  • Guru Malaysia pertama terpilih sebagai juri dalam pertandingan Intel-ISEF.Beliau juga aktif sebagai penceramah motivasi.
  • Anugerah The Best International Invention Award & Gold Award Dari Negara Thailand dalam penghasilan produk inovasi bertajuk “High Quality of Shereco Tile :100% from 3 Waste Products” dalam pertandingan 43th International Exhibition Of Inventions Of Geneva Switzerland (IEIG) pada  15-19 April 2015.
  • Pengiktirafan sebagai guru Malaysia pertama menerima anugerah (no.3) tersebut. (Pencapaian Tertinggi Kategori Sekolah Malaysia).
  • Dipilih oleh Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (Malaysian Association Of Research Scientist-MARS) mewakili Malaysia ke pertandingan 47th International Exhibition Of Inventions Geneva 2019 yang telah berlangsung dari 10th – 14th April 2019 di Geneva, Switzerland.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak maktab terutama kepada Tuan Haji Roslan Yusoff kerana telah banyak membantu dan memberi sokongan yang berterusan.

Prinsip Wan Rohila “Jika kita mampu menghasilkan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain maka kita adalah orang yang hebat”

Wan Rohila juga berharap agar dia dapat terus membantu pelajar-pelajar dalam menghasilkan projek bermutu tinggi serta kejayaannya ini menjadi inspirasi buat semua guru terutama buat semua warga MARA.

Source: https://ewarta.mara.gov.my/2019/06/03/guru-biologi-mrsm-terendak-wan-rohila-terima-anugerah-silver-award-inovasi-malaysia-serta-memenangi-silver-award-pertandingan-47th-international-exhibition-of-inventions-2019-geneva-switzer/