Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak pihak yang mengkritik hasrat kerajaan untuk memperkenalkan projek kereta nasional ketiga.

Perdana Menteri berkata, hasrat mewujudkan jenama kereta nasional baharu bertujuan mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini.

“Orang fikir kereta kita tidak bagus, jangan beli kereta Malaysia, sebaliknya beli kereta buatan asing. Mereka kata jangan buat kereta nasional ketiga, ia tidak bagus.

“Awak lihat, adakah mereka lihat teknologi yang terbabit di sini? Enjin yang digunakan? Rakyat Malaysia sangka mereka tahu mengenai semua, tidak mahu kereta (nasional) ketiga, hanya merugikan kata mereka, tapi mereka tidak tahu apa-apa.

“Mereka tidak tahu langsung mengenai kejuruteraan automotif. Sebab itu, kita ingin memperkenalkan kereta nasional ketiga untuk mempelajari,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival GT Asia, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, China boleh mengecapi kemajuan dalam masa singkat kerana negara itu menerima langkah menceburi industri automotif.

“Kita lihat bagaimana China berkembang dalam industri automotif dalam jangka masa yang pendek kerana mereka terima industri automotif,” katanya.

Jun tahun lalu, Perdana Menteri dilaporkan bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang tidak dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) pada 12 Oktober dan 14 Disember tahun lalu bersetuju Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dijadikan penyelaras kepada kementerian yang terbabit dalam projek berkenaan.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Dr Mahathir mengambil peluang menaiki kenderaan elektrik berkuasa tinggi, NIO EP9, yang dipandu oleh pelumba negara, Jazeman Jaafar.

“Ia sangat mengujakan. Degupan jantung saya naik hingga 140 (denyutan per minit),” katanya ketika ditanya mengenai pengalaman itu.

 

Source: https://www.mynationalcar.org/2019/03/17/kereta-nasional-baharu-untuk-belajar-teknologi-kejuruteraan-automotif-terkini-pm/