Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada perasmian Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G) bakal menjadi komponen penting kepada Malaysia dalam mencapai status negara maju.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia mampu memperkenal perkhidmatan baharu, mempertingkat keberkesanan pengeluaran serta menggalak inovasi pada masa hadapan.

Beliau berkata sejak April tahun lalu, persiapan bagi menyediakan teknologi 5G giat dilakukan dan negara dijangka dapat memulakan operasi komersialnya pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, penggunaan 5G adalah permulaan kepada usaha negara memperkukuh ekonomi bagi mencapai pertumbuhan mapan dengan sasaran setiap rakyat dapat hidup lebih selesa menjelang 2030.

“Melihat kembali dua dekad sebelum ini, kita melihat pelbagai perubahan berasas teknologi bermula dengan kebangkitan telefon pintar pada 2007 sehingga kebangkitan jenama gergasi seperti Google, Apple, Facebook, Amazon, Netflix dan Huawei.

“Teknologi akan terus mengubah cara kita melakukan sesuatu tugas dan kita berisiko ketinggalan jika enggan berubah, namun pada masa sama ia turut membuka peluang baharu kepada mereka yang berani menerokanya.

“Kita melihat negara seperti China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan sudah melaksanakan 5G yang membawa kepada penggunaan kenderaan autonomus dan pembedahan jarak jauh dapat dilakukan melalui liputan telekomunikasi,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Demostrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, malam ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Al-Ishsal Ishak.

Setakat ini, terdapat 56 tapak langsung 5G di Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang membabitkan 72 kes kegunaan antaranya bagi tujuan kesihatan, pendidikan, bandar pintar, hiburan, media, pertanian, pelancongan, pembuatan, pengangkutan, minyak dan gas.

Petang tadi di Hospital Sultanah Malihah (HSM), Dr Mahathir turut menyaksikan demonstrasi penggunaan 5G bagi vertikal kesihatan di mana petugas ambulans mampu berinteraksi bersama doktor pakar di HSM bagi mendapat bimbingan rawatan.

Dr Mahathir berkata, penggunaan teknologi akan kekal menjadi penting dalam kehidupan dengan industri internet sendiri dijangka mampu menjana AS$14.2 trilion (RM57.6 trilion) kepada ekonomi global membabitkan 20.4 bilion alat perhubungan seluruh dunia.

“Data Euromonitor International mendedahkan menjelang 2030, jumlah jualan runcit internet di Malaysia akan mencecah lebih RM30 bilion dengan RM18 bilion nilai jualan dibuat melalui telefon bimbit.

“Jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada anggaran jualan internet pada 2019 yang berjumlah RM11.4 bilion yang menunjukkan perniagaan perlu memastikan mereka kekal efektif, berpengetahuan dan produktif pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sektor pengeluaran kekal sebagai sektor penting kepada negara membangun dalam meningkatkan pendapatan rakyatnya.

“Perkara sama berlaku di Malaysia, di mana sektor pengeluaran memainkan peranan utama dalam rantaian nilai global dan menyumbang sehingga 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak lima tahun lalu.

“Oleh sebab itu, memasuki Revolusi Perindustrian 4.0, timbul persoalan adakah kita bersedia dan bagaimana cara perubahan teknologi dapat meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan negara?,” katanya.

 

 

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/648238/malaysia-sedia-laksana-teknologi-5g-secara-komersial-suku-ketiga-pm