Datuk Darell Leiking mahu memudahkan kemasukan pelaburan raja-raja dunia teknologi ke Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking mahu memudahkan kemasukan pelaburan ‘raja-raja’ dunia teknologi ke Malaysia.

Hasrat itu dinyatakan oleh Darell selepas bertemu dan mengadakan perbincangan bersama pelabur-pelabur asing daripada pelbagai sektor yang berhimpun di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 2019 di sini.

“Kenapa tidak Jeff Bezos? Kenapa tidak Elon Musk? Kita mahu jemput semua nama-nama besar ini ke Malaysia.

“Mereka telah menunjukkan bahawa mereka kreatif dan mereka pastinya akan bawa kreativiti, kewangan serta perniagaan ke Malaysia,” jelas Darell ketika ditemubual Astro AWANI.

Buat pertama kali menyertai WEF di Davos, beliau memanfaatkan pentas berprestij yang menghimpunkan lebih 3000 delegasi pemimpin kerajaan dan perniagaan global untuk memasarkan jenama Malaysia.

Menurut Darell, pelabur-pelabur antarabangsa kini mahu mendekati dan memahami dengan  dengan lebih mendalam mengenai Malaysia dan  ‘Malaysia Baharu’ pasca 9 Mei.

Pada satu sisi, senario dunia ketika ini yang suram dan meresahkan akibat daripada kesan ketegangan geo-ekonomi seperti perang perdagangan AS-China, tetap membuka ruang dan peluang positif kepada Malaysia.

“Mereka telah menyatakan pandangan dan juga niat, seperti mengurangkan operasi perniagaan di negara tersebut dan berpindah ke negara lain,  tetapi satu perkara mereka perlu diberi jaminan.

“Pastikan perniagaan mereka tidak dilambatkan oleh proses dan birokrasi memasuki Malaysia,” ujarnya

Source: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/mudahkan-raja-raja-teknologi-masuk-ke-malaysia-darell-196830