Lupakan robot berkilat yang mempunyai kemahiran seperti ahli gimnastik.

Pada Persidangan Robot Dunia di Tokyo baru-baru ini, fokus lebih pada robot lebih sederhana yang boleh menghantar surat, membeli-belah dan membina rumah.

CarriRo satu robot penghantar yang berbentuk seperti ‘Bas London’ dengan mata yang besar boleh menjelajah jalan di bandar dengan kelajuan enam kilometer sejam untuk menghantar barang.

“CarriRo itu direka untuk bergerak di kaki lima dan menggunakan GPS untuk pergi ke alamat dalam lingkungan dua kilometer radius,” kata Chio Ishikawa dari syarikat Sumitomo Corp yang mempromosikan robot itu.

Penerima pesanan akan menerima satu kod yang dihantar ke telefon bimbit bagi membolehkannya mengambil barangan seperti surat, ubat atau makanan di dalam bahagian simpanan CarriRo.

Perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan di Jepun apabila jumlah penduduk tua semakin meningkat.

Dengan hampir 28 peratus penduduknya berusia lebih 65 tahun, pergerakan semakin terhad dan Jepun bergelut dengan usia tenaga kerja yang sudah tua.

Robot Sokongan Manusia atau HSR yang dicipta gergasi kenderaan Toyota ini pula tidak cantik dipandang. Kelihatan seperti tong sampah yang mempunyai lengan tetapi ia penting untuk membantu orang tua atau golongan cacat di rumah.

HSR mampu mengendalikan dan memindahkan pelbagai objek dan ia juga menyediakan interaksi dengan dunia luar melalui skrin dengan sambungan internet di kepala.

Seorang lelaki bermain pingpong dengan robot ciptaan Omron.

SEBUAH robot ciptaan Omron memilih barangan di atas rak.

Projek pembinaan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di Tokyo yang bersedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 tetapi tapak pembinaan di seluruh bandar itu sering kekurangan tenaga kerja.

Mungkin robot berbentuk manusia dikenali sebagai HRP-5P boleh mengisi kekosongan itu. Setinggi 182 sentimeter dengan berat 101 kilogram, robot itu kelihatan seperti pekerja pembinaan yang tegap.

HRP-5P direka untuk menjalankan kerja pembinaan yang sama dilakukan manusia dan menggunakan pelbagai peralatan serta mesin.

“HRP-5P boleh menggunakan peralatan yang sama seperti manusia gunakan. Sebab itu kamu memberinya bentuk manusia, mempunyai dua kaki, dua tangan dan kepala,” kata seorang perekanya, Kenji Kaneko dari Teknologi dan Sains Industri Termaju Kebangsaan.

Beberapa firma robotik juga memperkenalkan robot bercakap terbaru yang menjadi semakin pintar bertindak balas.

Robohon sebuah robot comel setinggi 20 sentimeter yang direka oleh Sharp pula mula bekerja sejak bulan lalu untuk menyapa pelawat yang datang ke bandar Kyoto dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Cina.

Sebuah robot yang menyerupai bintang televisyen popular Jepun, Tetsuko Kuroyanagi antara rekaan paling popular dalam kalangan pengunjung ke persidangan itu kali ini.

Dicipta dengan kerjasama pakar robotik Jepun, Hiroshi Ishiguro robot itu meniru hampir sempurna mimik muka bintang berusia 85 tahun itu tetapi komunikasi dengan mesin itu tidak berapa lancar.

“Mencipta komunikasi yang lancar dengan orang berlainan adalah sukar. Jumlah kemungkinan jawapan untuk satu soalan terbaru adalah sangat besar dan ia sangat rumit.” kata Junji Tomita, jurutera gergasi telekomunikasi NTT yang turut terlibat dalam projek itu.

Source: https://www.hmetro.com.my/ekstra/2018/10/390950/pekerja-masa-depan