Penyelidik UM guna rumpai laut hasilkan power bank

iapa sangka sifat rumpai laut sebagai tumbuhan yang kaya dengan mineral semulajadi sebenarnya boleh dimanfaatkan sebagai bahan asas dalam alat pengecas bateri mudah alih atau ‘power bank’ yang lebih efektif, selamat serta mesra alam.

Perkara itu dibuktikan oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Nanoteknologi dan Katalisis (Nanocats), Universiti Malaya (UM) yang berjaya menghasilkan EcoB, iaitu sejenis power bank yang berasaskan rumpai laut.

Ketua projek, Profesor Madya Dr. Juan Joon Ching berkata, EcoB dihasilkan oleh pihaknya menggunakan teknologi kombinasi unsur aluminium, mineral grafit serta pulpa daripada rumpai laut merah jenis Gelidium sebagai bahan utama.

Kata beliau, teknologi tersebut menjadikan EcoB sebagai power bank lebih selamat dan mesra alam berbanding power bank biasa di pasaran yang hampir kesemuanya mengandungi litium, iaitu sejenis unsur mudah terbakar dan meletup.

“Proses pengecasan menggunakan EcoB pula didapati lebih cepat berbanding power bank biasa kerana rumpai laut yang terdapat di dalamnya mempunyai keupayaan menyerap lebih banyak elektrolit, sekali gus menyimpan cas dalam kapasiti lebih tinggi.

“EcoB yang dibangunkan sejak 2016 masih di peringkat prototaip. Kami sedang mencari pihak yang berminat untuk bekerjasama membangunkan teknologi ini untuk diuji dengan lebih teliti sebelum dikomersialkan dalam skala besar pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui ketika Bengkel Pemindahan Teknologi ‘Grand Challenge’ Pengkulturan dan Produk Rumpai Laut Malaysia di bawah Program Industri Rumpai Laut: Hasil Mampan dan Berkualiti Tinggi di Stesen Penyelidikan Marin Bachok (BMRS) Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) UM, di sini hari ini.

Kejayaan menghasilkan EcoB melayakkan kumpulan itu dipilih sebagai pemenang Anugerah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ekspo Inovasi Islam (USIM i-INOVA) 2016 dan pemenang Universiti Malaysia Pahang Latihan Teknikal dan Vokasional (UMP TVET) Exposition 2017.

Terdahulu, perasmian bengkel disempurnakan oleh Dekan Kluster Kemajuan Sosial dan Kebahagiaan UM, Profesor Dr. Ainin Sulaiman yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Profesor Dr. Noorsaadah Abd. Rahman.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Sharipudin Tuan Ismail.

Seramai 100 peserta terdiri daripada masyarakat setempat, usahawan serta wakil agensi kerajaan didedahkan dengan hasil penyelidikan UM termasuk pengkulturan dan produk-produk rumpai laut serta potensinya dalam menjana pendapatan kepada rakyat negeri ini.

Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penyelidik-um-guna-rumpai-laut-hasilkan-power-bank-1.895289

May 3rd, 2019|Categories: Techy Talky|