Para penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan produk penjagaan kulit yang berasaskan Teknologi Nano Hijau (Green Nanotechnology).

Produk yang dihasilkan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar dan kumpulan penyelidikannya digelar ‘Natural Kiss Micellar Series’ yang juga merupakan produk terbaru rangkaian kosmetik ‘Natural Kiss’. Micellar Series terdiri dari dua produk iaitu pencuci wajah dan penyegar kulit. Prof. Siti Hamidah selain dari bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di FKT, UTM juga memiliki syarikat hiliran universiti itu iaitu SHE Empire Sdn. Bhd.

 

Bercakap ketika majlis pelancaran produk penyelidikannya, Prof. Siti Hamidah berkata teknologi yang lebih dikenali sebagai ‘micellar water’ ini merupakan penemuan terkini dalam bidang kosmetik dan telah pun berada di pasaran secara meluas. “Namun begitu, kebanyakan micellar water yang terdapat di pasaran Malaysia adalah produk yang diimport dan banyak menggunakan bahan-bahan sintetik yang merbahaya dalam kandungannya.  “Melihatkan keadaan ini dan ditambah pula dengan tahap kesedaran wanita Malaysia yang rendah terhadap kesan bahan-bahan berbahaya dalam kosmetik ini telah mendorong kumpulan kami untuk membangunkan produk penjagaan kulit yang lebih selamat dan berteknologi tinggi,” katanya.

 

Kelebihan produk ‘Micellar Series’ yang dihasilkan beliau adalah menggunakan bahan-bahan semulajadi pada skala 99 peratus. Produk ini juga menggunakan bahan-bahan bermutu tinggi seperti Asid Hyaluranic, Bee Venom, Hidrosol Mawar dan pelbagai minyak semulajadi tumbuhan. Bahan-bahan bermutu tinggi ini mengandungi agen anti-penuaan yang akan memberi kesan kulit menjadi anjal selain mencerah dan menyerikan wajah. “Teknologi ini juga menambahkan keberkesanan kepada cucian wajah dan solekan sehingga lima kali ganda daripada cucian biasa. “Gabungan pengguaan pencuci dan penyegar pula akan memberikan pengguna kesan lembapan kepada wajah sehingga 20 kali ganda,” katanya.

Prof. Siti Hamidah telah pun membuat kajian dalam bidang teknologi micellar ini sejak 15 tahun yang lalu dan kini beliau sedang membangunkan prototaip produk micellar yang menggunakan tumbuh-tumbuhan tempatan seperti roselle, daun gelanggang dan minyak kayu putih.Kejayaan ini amat membanggakan kerana produk berteknologi tinggi ini adalah yang pertama seumpamanya yang dibangunkan di Malaysia. “Beberapa agensi juga telah tertarik untuk membantu kami dalam mengkomersilkan produk kosmetik bernilai tinggi agar mampu bersaing dengan jenama terkenal antarabangsa. “Walaupun baru dua tahun berada di pasaran, produk ini semakin diterima oleh ramai pengguna yang mula menyedari tentang bahaya produk kosmetik yang bertoksik dan mencari bahan yang lebih selamat untuk digunakan,” katanya.

 

Source: https://news.utm.my/ms/2018/04/penyeldik-utm-bangunkan-produk-kosmetik-berasaskan-teknologi-nano-hijau/