Satu standard khusus memperakukan peranti perubatan patuh syariah berjaya dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM), sekali gus dapat menghapuskan rasa was-was pengguna Islam dalam mendapatkan rawatan kesihatan.

Penarafan Malaysia Standard (MS) dilabel dengan kod MS 2636:2019 itu bukan sahaja menjamin peranti perubatan dihasilkan mengikut syarak dan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), malah melengkapi penarafan MS ISO 13485: 2017 (Peranti Perubatan) yang digunakan industri hari ini.

Difahamkan, penarafan berkenaan dapat diadaptasi sepenuhnya dalam industri kesihatan negara dalam tempoh dua tahun ini, memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahu menggunakan peranti perubatan halal atau peranti perubatan sedia ada.

Antara peranti perubatan yang sudah melepasi pensijilan halal di negara ini adalah flos gigi (dental floss), ubat titis mata (eye lubricant), selain peralatan dan keperluan dalam prosedur dialisis (dialysis/hemodialysis solution), jahitan pembedahan (suture) serta rawatan luka (wound wash).

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia (JSM), Datuk Fadilah Baharin memberitahu BH, MS 2636:2019 selesai dibangunkan tahun lalu, bertujuan memastikan peranti perubatan yang dihasilkan oleh pengeluar mematuhi ketetapan syariah dari segenap aspek.

“Bukan sahaja kandungan, bahan atau komponen perlu halal, malah cara penggunaan, label, proses pembuatan, fasiliti perusahaan, penggunaan pelarut, kawalan kualiti, kebersihan peribadi dan latihan juga harus berlandaskan syariah.

“Proses pembuatan peranti termasuk penggunaan bahan sintetik, bahan semula jadi, tumbuh-tumbuhan serta haiwan, mikro organisma, bahan kimia dan organisma ubah suai genetik (GMO) juga perlu dipastikan memenuhi kehendak Islam,” katanya.

Fadilah mengakui standard yang dikeluarkan JSM itu masih sukar untuk diterima sepenuhnya oleh pihak berkuasa kesihatan berdasarkan beberapa faktor, namun beliau yakin penggunannya mampu diperluaskan selaras peningkatan permintaan dari semasa ke semasa.

“Saya tidak melihat sektor halal ini akan diterima sepenuhnya, sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun ini, khususnya dalam perkhidmatan sektor perubatan awam, tetapi permintaan yang tinggi sudah ada sejak sekian lama.

“Namun, perkhidmatan hospital swasta turut menunjukkan minat dan disebabkan itu, saya menjangkakan standard bagi peranti perubatan halal ini dapat mula digunakan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Katanya, MS 2636:2019 yang dikeluarkan JSM adalah antara inisiatif yang mampu memberi impak besar kepada sektor perkhidmatan kesihatan dan perubatan negara kerana ia adalah yang pertama di peringkat dunia.

“Industri kesihatan kita mempunyai peluang cerah untuk menerapkan perkhidmatan halal kerana standard yang kita bangunkan bagi peranti perubatan itu adalah lengkap mengikut Akta 737 dan mematuhi peruntukan syariah serta fatwa.

“Ia membuka mata semua pihak bahawa Malaysia sememangnya berada di landasan sebenar dalam industri halal kerana mampu memainkan peranan besar dalam industri kesihatan, lebih-lebih lagi negara kita sudah mempunyai pengeluar dan pengilang peranti perubatan halal.

“Ini juga bermakna sektor halal dalam industri kesihatan bukan sahaja boleh dimanfaatkan di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa khususnya di Asia Barat, lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai peranan penting dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Usaha berdepan tentangan syarikat pembekal asing

Jabatan Standard Malaysia (JSM) berdepan pelbagai halangan, terutama daripada syarikat pembekal asing yang memasarkan produk keluaran mereka di negara ini ketika mahu memperkenalkan standard khusus memperakukan peranti perubatan patuh syariah.

Ketua Pengarah JSM, Datuk Fadilah Baharin, berkata halangan yang dihadapi menyebabkan usaha pihaknya membangunkan Malaysia Standard (MS) dengan kod MS 2636:2019 bagi memperakukan peranti perubatan halal, mengambil masa yang lama selepas dimulakan pada 2016.

“Saya akui, usaha membangunkan MS 2636:2019 bermula dalam skala kecil, tetapi kemudian meraih perhatian banyak pihak kerana penarafan ini mampu memberi implikasi besar kepada industri perubatan itu sendiri.

“Kita berdepan tentangan sejak 2017 apabila kandungan standard itu memasuki fasa untuk diperkenalkan kepada beberapa pihak termasuk kerajaan. Ia berlarutan sehingga sepanjang 2018, malah ada di antara pihak yang menentang itu menggesa supaya inisiatif JSM ini dihentikan.

“Pihak terbabit menentang dengan hebat rancangan untuk merealisasikan keupayaan sektor halal Malaysia kerana ia dibimbangi menjejaskan pelbagai perkara, khususnya pendapatan mereka,” katanya sambil menambah, tentangan paling hebat membabitkan pihak pembekal dari sebuah negara di Eropah.

“Malaysia memperoleh bekalan utama peranti perubatan dari sebuah negara di Eropah dan pihak pembekal dari negara itu yang paling kuat menentang apabila standard ini ingin diluluskan. Namun saya lihat ia perkara biasa kerana industri ini ada banyak persaingan,” katanya.

Walaupun usaha memperkenalkan penarafan halal bagi peranti perubatan melalui jalan begitu sukar, Fadilah yang juga penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada 2016, percaya usaha berkenaan seharusnya diteruskan, lebih-lebih lagi ia selaras hasrat Malaysia menjadi peneraju utama industri halal dunia.

“Saya percaya penarafan ini akan meletakkan Malaysia pada tahap yang lebih tinggi kerana langkah sedemikian tidak dilakukan negara lain termasuk negara Islam yang lebih maju. Malah, ada anak Malaysia sendiri yang mempunyai syarikat mengeluarkan peranti perubatan halal.

“Bayangkan bagaimana standard ini dapat membantu syarikat-syarikat tempatan itu, sekali gus turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya yang akan bersara daripada perkhidmatan awam tidak lama lagi.

Fadilah menyifatkan usaha JSM yang turut menyumbang kepada pembangunan sektor halal di Malaysia menjadi antara kenangan paling berharga sepanjang beliau menerajui jabatan berkenaan.

“Selain penarafan halal bagi peranti perubatan, ada beberapa lagi standard yang JSM bangunkan mampu dimanfaatkan umat Islam. Ramai mahukan khidmat perubatan serta rawatan yang menepati syariah dan ketika ini, saya boleh katakan kita sedang menuju ke arah itu,” katanya.

 

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/648209/peranti-perubatan-patuh-syariah