LSS3 menawar jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 500MW di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia.

Selaku bergerak ke masa depan yang kurang bergantung kepada tenaga bahan bakar, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melancarkan pembidaan terbuka untuk projek menjana kuasa solar secara besar-besaran.

Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga atau Large Scale Solar 3 (LSS3) menawar jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 500MW di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia.

“Kami mahu tawaran harga yang paling rendah,” tegas Menterinya, Yeo Bee Yin, pada Jumaat mengenai projek itu yang turut mementingkan ketelusan dan keadilan dalam proses pembidaan yang akan dijalankan secara kompetitif dan terbuka.

Selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai kapasiti penjanaan ‘renewable energy‘ atau tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2025, kementerian itu berazam untuk menurunkan kadar tarif TBB melalui projek tersebut bagi menaikkan insentif.

Langkah mengurangkan kos TBB

Bagi menangani masalah penjanaan TBB yang sering dikatakan terlalu mahal, kementerian memperkenalkan beberapa pembaharuan untuk proses pembidaan projek LSS3.

Antaranya adalah dengan memansuhkan penawaran kuota mengikut julat kapasiti, dan sebaliknya menawarkan mekanisme ‘free for all’ yang mana pemaju boleh membida pada kapasiti lebih tinggi iaitu daripada jumlah 1MW (megawatt) hingga 100MW.

Selain itu, kuota maksimum bagi pembida juga ditingkatkan daripada 30MW kepada 100MW, kerana kuota 30MW yang digunakan sebelum ini dikatakan tidak memberi keuntungan dan insentif kepada pemaju projek.

Melalui skala pengeluaran yang lebih besar, pemaju boleh mendapat kadar pembiayaan yang lebih baik daripada institusi kewangan sekaligus memberi insetif untuk menurunkan harga tarif elektrik yang ditawarkan.

Manfaat kepada alam sekitar serta ekonomi

“Projek menjana tenaga solar juga bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga kepada ekonomi negara,” ujar Yeo mengenai TBB yang sering diandai sebagai ‘beban’ kepada ekonomi.

Dari segi alam sekitar, setiap 1MW loji solar boleh menjana tenaga sebanyak 1,490MWj (megawatt per jam) yang mampu membekalkan elektrik bagi kira-kira 160 rumah.

Tambahan itu, Kementerian juga memberi kepentingan kepada pembida yang mengusahakan tanah yang tidak boleh digunakan lagi ataupun bumbung bangunan sedia ada sebagai tapak menjana kuasa solar bagi mengelak penebangan hutan.

Dari segi ekonomi pula, projek LSS3 dijangka akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dan menjana pelaburan sebanyak RM2 bilion serta memberi kepentingan kepada keupayaan tempatan dengan melantik kontraktor tempatan.

Tempoh penjualan dokumen untuk Request for Proposal (RFP) dibuka pada 14 Feb sehingga 27 Feb 2019, manakala pemaju projek tersebut dijangka akan ditentukan sekitar bulan Ogos depan.

Source: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/projek-kuasa-solar-mampu-turunkan-kadar-tarif-tbb-yeo-bee-yin-198620