Kemunculan tiga robot canggih yang berlegar-legar di ruang wad pesakit sebuah hospital di Bangkok, Thailand menarik perhatian orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan.

Menggunakan kod nama Nan, Nee dan Nim, ia sebenarnya robot jururawat yang ditempatkan di Hospital Besar Mongkutwattana untuk menangani masalah kekurangan kakitangan.

The Sun melaporkan, kaedah zaman baru itu dilaksanakan selepas seorang doktor terkenal di Britain memberitahu penggunaan robot boleh menjimatkan kos Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebanyak 12 bilion pound (RM63 bilion) setahun.

ROBOT jururawat dapat meningkatkan kecekapan dan prestasi pengurusandi hospital.

SEORANG kakitangan hospital mengambil dokumen perubatan dari robot jururawat.

Bekas Menteri Kesihatan Britain, Lord Darzi yang juga seorang doktor bedah berkata, satu pertiga daripada tugas kakitangan hospital sebenarnya boleh diserahkan kepada robot.

Bagaimanapun, robot berkenaan bukanlah bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas kakitangan di hospital sebaliknya hanya membantu tugas ringan bagi melicinkan operasi.

Robot yang lengkap berpakaian seragam jururawat berwarna kuning itu hanya melakukan tugas kertas kerja serta ubat-ubatan kepada doktor.

Ia mampu bergerak sejauh beberapa meter dalam tempoh sehari menerusi laluan magnetik yang ditampal pada lantai hospital terbabit.

Menurut jurucakap hospital terbabit, Dr Riantong berkata, kehadiran robot berkenaan dilihat dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan dilakukan oleh manusia.

“Robot jururawat ini membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi bekerja di hospital. Namun, ia bukan digunakan untuk mengurangkan bilangan kakitangan,” katanya.

Pakar sains neuro, Dr Naennaa berkata, dia merancang memperluaskan penggunaan robot itu di bahagian farmasi supaya ia dapat menyusun dan mengambil ubat-ubatan.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Institut Kajian Dasar Awam Britain, NHS boleh melakukan penjimatan kos sebanyak 10 peratus jika memilih untuk menggunakan robot.

Ia juga memberi ruang sebanyak 30 peratus kepada doktor dan jururawat untuk mendapatkan latihan dan melakukan penjagaan.

Source: https://www.hmetro.com.my/ekstra/2019/02/422212/robot-jururawat