PUTERI Saadong tokoh legenda yang menjadi kebanggaan masyarakat Kelantan sejak dari dulu hingga ke hari ini.

Kehebatan ilmu yang dimiliki Puteri Saadong menarik perhatian sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menghasilkan animasi tiga dimensi (3D) berkenaan sejarah ketokohan puteri itu.

Seramai 40 pelajar tahun tiga Program Sarjana Muda Teknologi Kreatif dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dilantik dan dilatih sebagai Syarikat Pemula Siswa dalam usaha menjayakan projek animasi itu sehingga hujung tahun.

Projek produksi animasi tiga dimensi (3D) bertajuk Srikandi itu membabitkan pensyarah di FTKW dan Syarikat Pemula Siswa yang bernaung di bawah Pusat Akselerator Kreatif atau Creative Accelerator Center (CAC) dengan kerjasama Kolej Komuniti Besut, Terengganu.

 Dekan FTKW, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, projek animasi itu adalah pelengkap kepada fakulti yang menjadi pemangkin kepada peranan dan fungsi FTKW dalam ledakan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Katanya, pembangunan projek animasi pertama itu turut mendapat kerjasama daripada Wau Animation Sdn Bhd, Persatuan Pendidik Animasi Malaysia, Persatuan Animasi Malaysia dan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd.

“Iklan awal untuk produksi animasi 3D ini dijangka siap pada awal bulan depan dan dijadikan satu bahan rujukan bagi pembangunan projek sebenar yang berskala besar bagi 13 episod siri TV dalam tempoh dua tahun bermula 2020 sehingga 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Usahawan Tekun Peringkat Negeri Kelantan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Ahamad Tarmidzi berkata, kejayaan promosi atau iklan awal itu akan digunakan untuk proses sesi ‘pitching project’ bagi mendapatkan dana pembangunan daripada UMK, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Tekun Nasional yang dianggarkan berjumlah hampir RM400,000.

Menurut beliau, projek siri animasi 3D itu menampilkan konsep futuristik dan tidak terikat dengan kepelbagaian fakta serta mitos sebenar Legenda Puteri Saadong yang belum dapat dipastikan kebenarannya secara kajian saintifik.

ILUSTRASI 3D untuk animasi Srikandi.

Bagaimanapun, kumpulan produksi masih mengekalkan nilai warisan, jati diri dan keunikan warisan budaya menerusi watak dan perwatakan karakter, latar tempat, lokasi dan jalan cerita yang digarap secara teliti berdasarkan legenda Puteri Saadong itu sendiri.

“Projek ini juga selaras dengan asas penubuhan FTKW menjadikan terasnya adalah warisan dan UMK sebagai universiti awam berfokus keusahawanan di Malaysia.

“Sebahagian besar projek produksi ini bertujuan untuk memartabatkan keunikan warisan dan ketamadunan budaya bangsa Melayu di Malaysia untuk dijadikan sebagai satu wadah keusahawanan dalam konteks industri kandungan kreatif negara,” katanya.

Idea asal pembangunan projek Srikandi itu adalah daripada Dr Noor Azizi apabila beliau sendiri melakukan tinjauan dan usaha awalan bagi pembangunan projek berkaitan Legenda Puteri Saadong menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kursus yang ditawarkan di FTKW.

“Hasil daripada usaha awalan ini, beberapa produk kreatif berjaya dihasilkan seperti lukisan digital, komik digital, dokumentari dan filem pendek berkaitan Legenda Puteri Saadong,” katanya.

 

Source: https://www.hmetro.com.my/bestari/2019/04/449880/siswa-umk-bangun-projek-animasi