Syarikat-syarikat pemula teknologi kini boleh mula memohon untuk menyertai National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) berjumlah RM100 juta menerusi laman web rasmi NTIS, https://sandbox.gov.my.

NTIS adalah sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dilihat bakal memacu Malaysia ke arah negara berteknologi canggih dan berpendapatan tinggi melalui penyelesaian yang didorong oleh inovasi.

“Melalui NTIS, kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan agar projek-projek inovasi tempatan dapat dihasilkan di samping bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian teknologi baharu.

NTIS dilihat mampu menyelesaikan permasalahan berkaitan masyarakat seperti pengangguran meningkat, kebergantungan tenaga kerja asing, ketahanan rantaian bekalan tempatan, keselamatan makanan dan kesihatan serta kepincangan infrastruktur digital,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bidang-bidang fokus utama adalah isu berkaitan COVID-19 seperti penurunan KDNK, kenaikan kadar pengangguran, penurunan kepenggunaan dan perbelanjaan swasta, kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh asing dan keperluan peningkatan kemahiran bakat.

“Kerajaan percaya bahawa isu-isu ini dapat ditangani dengan menggunakan teknologi yang lebih maju dalam sektor utama seperti teknologi perubatan, pembuatan, pertanian, pendidikan serta pelancongan dan perjalanan,” ujar Khairy.

NTIS diterajui oleh MOSTI dengan MaGIC sebagai sekretariat utama dibantu oleh Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Berhad, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn. Bhd.

“Sebagai pusat koordinasi dan fasilitasi penyelesaian nasional, NTIS mampu memacu pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

Beberapa contoh projek perintis yang telah dikenal pasti di bawah NTIS termasuk FARMO (Farm Assist Robot for Multi Operation) Robot yang digunakan di sektor Pertanian, Robot Rehabilitasi untuk hospital, Robot Linear untuk Aplikasi Industri, dan banyak lagi,” kata Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, sebuah daripada agensi penyelaras NTIS.

Terdapat empat (4) jenis skim pembiayaan:

1. Single Site Sandbox – Pembiayaan maksimum sebanyak RM250,000 dalam bentuk Geran sepenuhnya untuk membiayai kos penyelesaian sandbox di lokasi tunggal

2. Multiple-Site Sandbox – Pembiayaan maksimum sebanyak RM500,000 dalam bentuk Geran Separa (70%) untuk membiayai kos penyelesaian sandbox di pelbagai lokasi

3. Pengkomersialan – Pembiayaan maksimum RM4 juta dalam bentuk Dana Hibrid; Geran dan Nota Janji Boleh Ubah untuk membiayai kos pengkomersialan penyelesaian sandbox

4. Padanan Dana bersama-sama Pelabur/Syarikat Korporat – Peruntukan maksimum RM15 juta sebagai Dana Padanan dengan Pelabur dan Syarikat 3 Korporat. Instrumen pembiayaan akan tertakluk kepada persetujuan antara MTDC dan Pelabur serta Syarikat Korporat yang terlibat.

MaGIC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan mandat yang menyumbang ke arah evolusi Malaysia dalam negara pemula yang didorong oleh teknologi.

 

Source: https://dagangnews.com/syarikat-pemula-teknologi-ditawar-sertai-national-technology-innovation-sandbox-ntis