The Flash bukanlah adiwira yang asing bagi kita semua. Kemampuan untuk berlari dengan kelajuan cahaya membolehkan beliau menangkap penjenayah dan penjahat seantero dunia. Berdasarkan teori Albert Einstein, tiada apa yang boleh bergerak lebih cepat daripada kelajuan cahaya dalam vakum. Namun begitu, kelajuan cahaya akan berkurangan sekiranya ia berada di dalam medium berbeza seperti air, udara atau kaca

Albert Einstein ketika eksperimen di Jerman pada tahun 1929

Di dalam dunia telekomunikasi, lembar halus yang diperbuat dari kaca dan plastik atau lebih dikenali sebagai gentian optik digunakan untuk membawa cahaya dari satu bahagian ke bahagian yang lain. Jadi, walaupun realitinya anda tidak dapat bergerak selaju cahaya seperti The Flash, anda masih berpeluang untuk berkomunikasi hampir dengan kelajuan cahaya. Disebabkan kepantasannya, penggunaan cahaya untuk menghantar data, suara dan video lebih digemari sekiranya dibandingkan dengan teknologi terdahulu yang menggunakan elektrik.

Saiz selembar gentian optik selalunya lebih tebal sedikit daripada sehelai rambut manusia. Rajah 1 menunjukkan keratan rentas kabel gentian optik yang terbahagi kepada empat bahagian.

Teras
Teras gentian optik merupakan silinder yang diperbuat dari plastik atau kaca yang mana cahaya dari laser atau laser emitting diode (LED) akan merambat melaluinya. Cahaya hanya akan merambat di dalam teras kerana mematuhi prinsip pantulan dalam penuh disebabkan oleh lapisan salutan.

Rajah 1: Keratan rentas kabel gentian optik

Salutan
Salutan ialah bahan optik luar yang melindungi teras. Fungsi utama salutan adalah untuk memantulkan cahaya kembali ke teras.

Penimbal
Fungsi utama penimbal adalah untuk melindungi bahagian teras gentian. Bungkusan ini dilindungi oleh penutup luar kabel yang dipanggil jaket.

Jaket
Jaket kabel gentian optik boleh didapati dalam pelbagai warna bagi memudahkan proses mengenali jenis gentian, sama ada gentian mod tunggal (Single Mode Fiber, SMF) atau gentian multimod (Multi Mode Fiber, MMF). Warna kuning digunakan untuk SMF dan warna oren bagi MMF.

Sudah pasti TM UniFi dan Maxis Fibre bukanlah pembekal servis Internet yang asing bagi kita. TM UniFi merupakan perkhidmatan oleh Telekom Malaysia yang menawarkan akses Internet, suara melalui Internet Protokol (VoIP) dan Internet Protocol Television(IPTV) kepada pelanggan kediaman dan perniagaan di Malaysia untuk unit perumahan individu dan bangunan.  Begitu juga dengan Maxis Fibre yang menawarkan perkhidmatan yang hampir sama tetapi diperkenalkan oleh  pembekal perkhidmatan Internet yang berbeza, iaitu Maxis Communications. Kehadiran kedua-dua servis ini merevolusikan penggunaan Internet kita, di mana kita dapat menggunakan Internet data dengan lebih laju, juga mempunyai keupayaan membuat panggilan suara dan menonton cerita kegemaran kita dari satu pembekal perkhidmatan yang sama.

Ilustrasi kabel optical power ground wire (OPGW)

Ilustrasi entian optik all-dielectric self-supporting (ADSS)

Kedua-dua servis ini menggunakan teknologi gentian optik bagi memastikan sambungan Internet yang lancar. Apabila anda menggunakan Internet dan terdapat data masukan dalam bentuk isyarat elektrik, litar pemancar akan mengubah isyarat tersebut kepada isyarat cahaya dengan bantuan sumber cahaya; sama ada LED atau laser. Jenis bantuan sumber cahaya ini menentukan jenis gentian optik yang digunakan. Secara amnya, gentian optik terbahagi kepada dua jenis iaitu SMF dan MMF. Sumber cahaya bagi SMF ialah laser dan digunakan untuk komunikasi jarak jauh, manakala sumber cahaya bagi MMF ialah LED dan digunakan untuk komunikasi jarak dekat.

Alur cahaya dari LED atau laser kemudiannya dibawa oleh kabel gentian optik ke destinasi dimana maklumat itu dihantar kembali ke isyarat elektrik oleh litar penerima. Litar penerima terdiri daripada pengesan foto berserta dengan litar elektronik yang sesuai, yang mampu memberi ukuran magnitud, frekuensi dan fasa medan optik.

Penggunaan gentian optik tidak hanya terhad kepada pembekal perkhidmatan Internet, malah ia turut digunakan bagi syarikat utiliti kuasa untuk menyelia grid kuasa mereka. Kebanyakan syarikat utiliti kuasa memilih gentian optik dalam sistem pengawasan dan kawalan bagi mengekalkan komunikasi yang jelas sambil melindungi pekerja–perkerja syarikat utiliti daripada voltan tinggi yang berbahaya.

Kabel gentian optik untuk syarikat utiliti ini biasanya dipasang di sepanjang laluan transmisi dan terdapat banyak cara untuk memasang kabel gentian optik pada menara elektrik. Salah satu cara ialah dengan menggunakan kabel optical power ground wire (OPGW) pada laluan transmisi yang baharu. Kabel ini biasanya dipasang di bahagian atas menara atau tiang elektrik untuk menjadi konduktor pembumian dan melindungi kabel kuasa daripada kilat.

Untuk menambah gentian optik di sepanjang laluan transmisi, syarikat utiliti kuasa turut menggunakan gentian optik all-dielectric self-supporting (ADSS) yang dipasang di bawah konduktor kuasa. Ini merupakan cara yang lebih menjimatkan tanpa menyebabkan gangguan penghantaran kuasa. Cara lain yang digunakan ialah dengan memasang kabel optik bawah tanah pada sistem transmisi dan distribusi mereka. Tetapi, cara ini biasanya hanya dilakukan di kawasan metropolitan kerana kos pembinaan yang tinggi.

Source: https://www.majalahsains.com/telekomunikasi-sepantas-adiwira-the-flash/