ZYFRA sasar pasaran Malaysia

Syarikat teknologi Finland-Rusia, ZYFRA berminat untuk menembusi pasaran Malaysia menerusi jalinan kerjasama dengan rakan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Igor Bogachev memberitahu Bernama, ini berikutan Malaysia dan Rusia memiliki potensi besar bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor jentera dan berteknologi tinggi seperti pelaksanaan projek bersama dalam kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda industri (IIoT).

“Inovasi sewajarnya menjadi pemacu hubungan Rusia-Malaysia. Kami melihat potensi besar bagi memperkenalkan AI dan IIoT dalam industri seperti jentera, logam, perlombongan, minyak dan gas,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi Digital dan Inovasi Kesatuan Ahli Industri dan Usahawan Rusia.

Menurutnya, ZYFRA juga masih dalam proses mengenal pasti rakan di Malaysia bagi mempromosi MDCplus iaitu sistem pemantauan dan pengumpulan data pembuatan yang berasaskan IIoT.

“Ia membantu menghubungkan pelbagai mesin kawalan berangka komputer (CNC) ke dalam satu rangkaian tunggal bagi penggunaan data serta mengoptimumkan proses teknologi yang mampu mempertingkat prestasi mesin sehingga 8.0-12 peratus,” katanya.

 

Source: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/zyfra-sasar-pasaran-malaysia-1.905103

May 6th, 2019|Categories: Venture Corner|