Lebih 40 hari memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia akhirnya bangkit daripada kegelapan akibat pandemik COVID-19.

Kadar penularan turun ke tahap lebih terkawal, mendorong rakyat kembali bekerja untuk sektor ekonomi utama dan membuka semula restoran serta perkhidmatan penting lain.

Kehidupan seharian kita keluar daripada keadaan statik, walaupun perlahan dan sangat berhati-hati. Melihat apa yang berlaku, krisis sebelumnya dianggap hanya berlaku di China menular menjadi kisah geopolitik global yang memberi kesan kepada semua.

Walaupun sukar membuat ramalan – positif atau negatif – pengalaman negara lain yang pulih mungkin bermanfaat untuk membantu kita merangka rancangan ke depan.

Sejarah menunjukkan pandemik berskala besar cenderung mengubah ekonomi selama beberapa dekad. Secara asasnya, ia mengubah bagaimana perniagaan dan pengguna membuat keputusan.

Ketika peristiwa wabak Maut Hitam atau ‘Black Death’ yang membunuh kira-kira 200 juta orang pada abad ke-14 misalnya, kadar kehilangan pekerjaan tinggi memaksa penduduk beralih daripada bercucuk tanam kepada menternak binatang. Ini disebabkan industri ini kurang bergantung tenaga manusia.

Setakat ini, pandemik COVID-19 menyebabkan kira-kira 200,000 kematian di seluruh dunia, jauh lebih kurang berbanding peristiwa Maut Hitam. Namun, pakar menjangkakan kesan sosioekonomi pandemik moden ini belum pernah terjadi sebelumnya.

Ketika negara melaksanakan perintah kuarantin dan langkah penjarakan sosial untuk membendung wabak, keruntuhan aktiviti ekonomi cukup besar dan sangat pantas.

Tidak hairanlah peristiwa Great Lockdown ini dianggap kemelesetan ekonomi terburuk sejak Great Depression sekitar 1920-an dan 1930-an, serta jauh lebih buruk daripada Krisis Kewangan Global 2007-2008.

Di China, laluan selepas perintah berkurung penuh mencabar, walaupun mereka gergasi ekonomi di rantau Asia Timur.

Meskipun membuka kembali ekonominya selepas 10 minggu dalam pergerakan terhad, kehidupan masih dibayangi virus dengan pemeriksaan suhu, pemantauan aplikasi dan langkah bio keselamatan lain.

Jika China menjadi petunjuk, masa panjang diperlukan bagi rakyat Malaysia untuk menyedari bahawa kita tidak lagi menghadapi gangguan sementara, walaupun selepas PKP ditarik sepenuhnya.

Kelangsungan dan pemulihan ekonomi kita selepas PKP ditarik sepenuhnya, akan bergantung kemampuan rakyat untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Sejak mula perjalanan transformasi ekonomi kita, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi pemacu utama pekerjaan dan pertumbuhan, dengan hampir 98 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia.

Mereka menyumbang hampir 36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, 65 peratus pekerjaan dan hampir 18 peratus jumlah eksport.

Bagaimanapun, PKS antara paling teruk dilanda krisis COVID-19 kerana mereka menghadapi realiti sukar daripada dasar kerja dari rumah, pembersihan atau sanitasi dan kos lain tidak dijangka, yang semakin menekan margin keuntungan.

Memandangkan keadaan suram, PKS tidak dapat bertahan tanpa langkah rangsangan untuk menyokong rancangan kesinambungan perniagaan mereka.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dilancarkan Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM10 bilion untuk meringankan beban kewangan PKS, satu langkah tepat dan kritikal untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, kesan dana dan bantuan kewangan diberikan kepada PKS hanya penyelesaian jangka pendek untuk bertahan sepanjang tempoh PKP.

Untuk terus bertahan dan mengekalkan pertumbuhan, PKS perlu menguasai digitalisasi bagi operasi perniagaan mereka pada masa hadapan.

Yang pasti, COVID-19 membuka laluan untuk transformasi digital kerana perniagaan terpaksa menghadapi cabaran baharu daripada penutupan ruang fizikal, pergerakan terhad dan gangguan bekalan.

Di China sebagai contoh, perkhidmatan penghantaran makanan dan barang runcit semakin meningkat ketika menghadapi COVID-19.

Infrastruktur kereta api berkelajuan tinggi digabungkan dengan infrastruktur e-Commerce yang dibangunkan penggiat industri seperti Alibaba.

Ini mempercepatkan penghantaran barang runcit dalam talian menjadikan ia lebih pantas, murah dan pilihan yang mudah untuk pengguna negara itu.

Tabiat dagangan baharu ini dijangka dapat bertahan dalam tempoh jangka panjang. Tetapi kita tidak perlu menjadi seperti China untuk melihat bagaimana teknologi digital dapat memenuhi keperluan kritikal dalam waktu pandemik.

Di Malaysia, kita tahu bazar Ramadan tahunan terpaksa dibatalkan tahun ini kerana risiko penularan COVID-19 dalam perhimpunan besar.

Ini menimbulkan kesulitan bagi peniaga bazar, kerana mereka menghabiskan sejumlah besar wang untuk lesen, kos pengurusan dan deposit untuk menyediakan bazar.

Mujurlah, banyak peniaga bazar cepat beralih ke platform media sosial dan perkhidmatan pesanan mudah alih dengan pelbagai kumpulan bazar dalam talian tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Facebook, Twitter dan WhatsApp.

Sebahagian bazar besar lain juga bekerjasama dengan jenama terkenal untuk menyediakan peluang bagi pemilik gerai beroperasi tanpa melanggar PKP.

Kerajaan Selangor juga perintis kerjasama dengan Grab Malaysia untuk mewujudkan ‘e-Dapur’ inovatif di 10 lokasi seluruh negeri.

Ruang dikongsi usahawan PKS mikro berdasarkan model ‘dapur pusat’ di mana pelanggan boleh memesan makanan dari bazar Ramadan kegemaran dan dihantar melalui rangkaian rakan penghantar Grab dan rakan kongsi.

Bukan hanya penggiat industri bersaiz kecil dapat menjimatkan hampir 10 peratus untuk menggaji pekerja dan kos makanan, e-Dapur juga membolehkan lebih konsistensi dari segi keselamatan makanan dan kawalan kualiti.

Grab sendiri memperoleh purata jumlah dagangan kasar hampir RM4,000 sehari dan laporan berita menunjukkan beberapa rakan kongsi restoran menjana pendapatan sehingga RM1,000 sehari.

Penyelesaian teknologi inovatif ini membuktikan manfaat untuk kedua-dua platform digital dan rakan kongsi.

Sudah jelas perkembangan pesat digitalisasi mencetuskan pemikiran baharu yang memberi tumpuan kepada masa depan dengan keterbukaan untuk mencuba teknologi baharu.

Peluang untuk menggunakan teknologi digital perlu direbut, namun perlu juga diingat digitalisasi sahaja bukan penawar ajaib untuk semua masalah.

Sebaliknya, perniagaan perlu teruskan inovasi dan meningkatkan kehadiran mereka dalam talian tanpa beralih kepada model tradisional apabila keadaan COVID-19 bertambah baik untuk terus kekal bertahan terhadap cabaran masa depan.

Kita sudah melihat bagaimana penyelesaian digital menyumbang secara kreatif dan tidak dijangka meningkatkan kesejahteraan orang ramai serta membantu menyambung semula fungsi masyarakat.

Pengalaman Selangor membuktikan penyelesaian ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat melalui kerjasama strategik dengan kerajaan, yang dibangun berdasarkan semangat inovasi.

Hanya dengan memanfaatkan peranan teknologi digital dalam tadbir urus negara, tadbir urus sosial dan pembangunan ekonomi dengan lebih baik, akan dapat mengatasi krisis seumpama COVID-19 pada masa depan.

Selain menstabilkan penggunaan digital dan ekonomi, transformasi digital akhirnya membawa pertumbuhan teknologi lebih canggih dalam industri lebih besar seperti kecerdasan buatan (AI), 5G dan pengkomputeran awan, untuk membawa era digital baharu untuk Malaysia.

 

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/06/699012/digitalisasi-inovasi-penawar-ekonomi-pasca-covid-19