Kebijakan menempuh Revolusi Industri 4.0

BERDASARKAN kajian, kebanyakan syarikat di Malaysia masih berada dalam kategori industri 2.0 yang berasaskan buruh.

SEJAK diperkenalkan di Jerman pada 2011, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) adalah cabaran baharu kepada kehidupan manusia.

Sebelum ini, revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Diikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Seorang pemikir dan pengkaji barat, John Naisbitt dalam bukunya High Tech High Touch menyatakan “hasil daripada penyelidikan bersama isterinya (1999) mendapati teknologilah yang menguasai dan membentuk manusia dan bukan sebaliknya. Manusia telah mencipta tuannya sendiri.”

Syaidina Umar Al-Khattab mengatakan, “didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau”.

Pesanan ini menggambar keperluan menguasai ilmu (pelengkap) yang diperlukan pada zamannya. Maknanya Industri 4.0 perlu kita kuasai dan bukan dikuasai.

Apa yang masih ditunggu-tunggu ialah wujudnya pakar teknologi Muslim yang mampu merekacipta teknologi yang Islamic – compliance dan sekali gus human – compliance.

Ketika kita terpesona dengan inovasi dan kecanggihan hasil Revolusi Industri 4.0 ini, perlu juga kita waspada kesan negatif teknologi yang sifatnya mampu memuaskan tuntutan minda dan jasmani.

Tetapi keracunannya memulas keluar semangat keinsanan sehingga manusia tercari-cari tentang makna dan tujuan hidup. Satu kajian menyimpulkan terdapat lima simptom negatif kepada yang diracuni teknologi:

  • Kecenderungan memilih jalan cepat-sedia (ready-made) – Amalan tradisi bermusyawarah, berdiskusi ditinggalkan dan tempatnya beransur-ansur diambil oleh cara penyelesaian yang sedia-cepat. Segalanya dibudayakan penyelesaian secara segera daripada urusan agama, ekonomi, sosial dan politik.
  • Gerun dan menyembah teknologi – Dahulu manusia takut kepada Tuhan, kini ketakutan itu beralih kepada teknologi kerana teknologi bukan neutral adalah perhambaan menakutkan.
  • Mencintai teknologi sebagai mainan – Segala yang baharu ingin segera dimiliki seolah-olah satu permainan, bukan lagi refleksi untuk meningkatkan ciri keinsanan.
  • Keganasan sebagai biasa – Industri permainan video elektronik telah menghasilkan pendapat AS$ 16 bilion setahun di Amerika Syarikat (AS). Paling diminati permainan video berunsurkan peperangan dan keganasan.
  • Kabur di antara hal sebenar dan tiruan – kehebatan inovasi IR 4.0 memang luar biasa dan memukau sehingga tidak dapat dibezakan antara asli dan tiruan, realiti atau fantasi.

Kita perlukan kebijakan menghadapi perkembangan IR 4.0 kerana ia bukan sahaja mencorak cara hidup, nilai dan norma tetapi mampu mengubah persepsi mengenai manusia itu sendiri dan mencabar kesemulajadiannya.

Tiada jalan mudah dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, perlu menguasai serta memahami impak IR 4.0 kepada sosioekonomi, sosiopendidikan dan sosiopolitik negara.

Dalam aspek ekonomi, Price Waterhouse Coopers melaporkan terdapat 20,000 syarikat di 29 negara dari Asia, Eropah dan AS akan melabur hampir AS$ 1 trilion setahun bagi mengubah cara beroperasi disesuaikan dengan perkembangan IR 4.0.

Berdasarkan kajian, kebanyakan industri di Malaysia masih berada dalam kategori industri 2.0 yang berasaskan buruh.

Kesannya, berlaku peralihan pelaburan asing ke negara-negara jiran seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja.

Ini disebabkan penggunaan teknologi terkini, lebih mudah dan faktor buruh murah. Profesor Klaus Schwab dalam buku The Fourth Industrial Revolution menjelaskan, IR 4.0 akan mengubah cara hidup dan cara bekerja melalui tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal.

Marilah kita menempuh IR 4.0 dengan penuh kebijaksanaan dalam perspektif keseluruhan bukan secara piece meal, bukan cuma bersistem tetapi juga bersistematik.

Dengan harapan IR 4.0 dapat berkembang dalam ekosistem yang kondusif, efektif dan mempertahankan nilai-nilai insani sebagai khalifah dan rakyat Malaysia.

Source: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kebijakan-menempuh-revolusi-industri-4-0-1.917076

May 16th, 2019|Categories: Home Grown|