Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengalu-alukan bantuan orang ramai memantau pematuhan SOP perintah kawalan pergerakan dengan membuat aduan mengenai pelanggarannya.

Aplikasi MyTrace yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan kepakaran tempatan akan membantu kerajaan mengesan jangkitan Covif-19 melalui pengesanan kontak wabak itu secepat mungkin, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, MyTrace membolehkan kerajaan mengesan individu yang berada berdekatan dengan pesakit Covid-19 dengan menggunakan gelombang “bluetooth” dengan data itu disimpan selama 21 hari dalam telefon pintar pengguna.

Beliau berkata, MyTrace bagaimanapun hanya mengumpul maklumat kontak pengguna dan tidak mengumpul sebarang maklumat geolokasi.

“MyTrace adalah pelengkap aplikasi MySejahtera yang dilancarkan sebelum ini dengan menggunakan ‘bluetooth’ untuk pengesanan kontak. Apabila telefon bimbit berada dalam jarak dekat, ia akan kesan kehadiran masing-masing melalui gelombang itu.

“Berdasarkan kekuatan gelombang ‘bluetooth’, jarak dan tempoh pertemuan pengguna boleh dikenal pasti dan data yang dikumpulkan itu boleh disimpan dalam telefon bimbit selama 21 hari.

“Pengesanan kontak sangat penting supaya kita dapat mengetahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19,” katanya.

Katanya, bagi memastikan keberkesanannya, sasaran penggunaannya ialah sekitar 60% membabitkan pengguna telefon pintar di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengalu-alukan pemantaun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB oleh orang ramai, termasuk ke atas premis perniagaan atau pihak lain.

“Rakyat dialu-alukan membantu kerajaan bagi memastikan SOP dipatuhi dengan melaporkan (pelanggarannya) kepada pihak polis dengan segera,” katanya.

Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/03/mosti-bangun-aplikasi-mytrace-kesan-kontak-pesakit-covid-19/