Mendorong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pergi lebih jauh dan meningkatkan peranan bank diterajuinya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada golongan ber­kenaan adalah matlamat utama Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank yang baharu, Aria Putera Ismail. Menurutnya, tiga tonggak utama dalam menguruskan bank berkenaan adalah sumber insan, produk dan program selain portfolio serta dasar.  “Kami melihat untuk memperbaiki kua­liti aset selain bakat yang ada. Asas penting bank ini ialah mendorong PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam temu bual dengan Bernama. Aria berkata, walaupun SME Bank tidak memberikan sebarang geran kepada usahawan PKS, ia menyediakan pembiayaan untuk golo­ngan itu dan sokongan dalam bentuk bukan kewangan seperti program pembangunan usahawan. Sejak 2005, institusi tersebut telah meluluskan lebih RM29 bi­lion bagi memupuk dan membiayai lebih daripada 16,000 PKS. Aria berkata, pihaknya akan me­laksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk menyediakan penyelesaian khas PKS melalui pembangunan program pembiayaan komprehensif seperti Program Pembiayaan Ekosistem dan Program Pembiayaan Payung. Tambahnya, bank ber­kenaan juga berhasrat untuk berkembang dalam sektor berimpak tinggi seperti bidang hijau dan teknologi digital selain bekerjasama de­ngan bank komersial lain melalui perjanjian ber­sindiket, pengenalan e-Dompet serta PKS marketplace. Setakat ini SME Bank telah menyenaraikan 21 inisiatif, termasuk langkah dalam transformasi teknologi digital serta strategi pembangunan PKS berdasarkan persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar, selaras dengan keinginan kerajaan untuk Revolusi Industri 4.0. “Ini termasuk membentuk ekosistem yang tidak hanya membantu kami menilai kualiti kredit, tetapi juga memantau prestasi dan membolehkan pemain PKS melihat peluang baharu dalam lingkungan ekosistem yang ingin diceburi,” katanya. Hari ini, SME Bank adalah satu-satunya institusi pembia­yaan pembangunan Malaysia yang mewujudkan Pusat untuk Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR), sebuah anak syarikat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pe­ngantaraan termasuk latihan berasaskan penyelidikan, bimbingan perniagaan, pemudah cara berasaskan fungsi dan bim­bingan usahawan. “Perkhidmatan pe­ngantaraan ini pen­ting memandang­kan sejak beberapa tahun lalu, kami mendapati walaupun PKS sangat bermotivasi, mereka kekurangan pengetahuan asas dan kemahiran me­ngurus seperti pengurusan kewangan, aspek pemasaran serta penjenamaan,” kata Aria.

 

Source: http://www.kosmo.com.my/niaga/sme-bank-tingkat-peranan-bantu-pks-1.806246