KUALA TERENGGANU 4 Sept.- Festival Sains, Teknologi dan Inovasi (FesTI) 2014 berlangsung di sini baru-baru ini dalam usaha mempertingkatkan kesedaran, minat dan penglibatan masyarakat terhadap bidang yang mengarah kepada kewujudan komuniti pintar.

FesTI merupakan salah satu program pendidikan yang dirangka secara kreatif dan holistik dengan sasaran penglibatan umum terutama golongan pelajar melalui pelbagai daya tarikan.

Dianjurkan oleh Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, program selama empat hari di Taman Tamadun Islam itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif, kolokium robotik, simulator 3D, zon saintis, ‘cakap-cakap’ sains, dome planetarium di samping sukan rakyat.

Dengan fokus terhadap ‘alami keajaiban sains’ FesTI dengan unsur robotik pastinya suatu pengalaman yang harus dirasai oleh semua pengunjung agar cetusan ilham penganjurnya dapat menyemarakkan elemen sains dan teknologi di peringkat akar umbi.

Mengulas mengenai festival itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Diah berkata, tema ‘robotik’ yang dipilih bertepatan dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak kementerian.

Katanya, MOSTI berusaha untuk memodenkan serta memberi ruang kepada masyarakat untuk meneroka serta mendalami ketiga-tiga bidang seiring dengan era globalisasi.

“Justeru, saya amat berharap agar kita semua dapat bersama-sama memajukan bidang sains, teknologi dan inovasi ini bagi mencapai kejayaan yang lebih besar kepada negara khususnya dan negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu baru-baru ini.

Beliau menghargai kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan rakyat lebih berdaya saing dalam pelbagai bidang dengan penekanan di peringkat akar umbi terutama golongan pelajar serta belia yang bakal menjadi pewaris negara pada masa depan.

“Minat terhadap bidang sains juga perlu dipertingkatkan agar kita dapat menghasilkan lebih ramai graduan dalam bidang berkenaan serta mampu melahirkan lebih ramai pakar sains, ahli astronomi dan ilmuan falak pada masa depan.

“Secara tidak langsung, ia dapat menambah baik modal insan serta dapat menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara ‘in-house’ tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong ketika berucap merasmikan program itu berkata, FesTI dengan usahasama kerajaan negeri menerusi Unit Inovasi Khas itu diperkenalkan buat julung kalinya.

Menurut beliau, ini dalam usaha untuk mengetengahkan pendidikan sains, teknologi dan inovasi yang berunsurkan kreativiti ke peringkat lebih tinggi.

“Program seperti ini diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi, inovasi dalam menghadapi cabaran global.

“Selain itu, ia juga dapat melestarikan konsep pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah serta percambahan ilmu,” ujarnya.

Beliau menekankan betapa perlunya perkembangan dan pengetahuan dalam bidang berkenaan diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa.

“Sains dan teknologi mewakilkan pengetahuan adalah sebahagian daripada seruan Islam dengan dibuktikan oleh penemuan dan kemajuan ilmu oleh para saintis Islam pada zaman lampau sebagaimana yang telah dirakam oleh sejarah.

“Apa yang penting untuk dilihat sekarang ialah langkah dan usaha agresif kerajaan negeri, kumpulan tertentu dan ahli masyarakat dalam merapatkan jurang perbezaan celik sains dan teknologi, juga jurang digital,” ujarnya.