Insentif bagi Penyelidikan & Pembangunan

Akta Penggalakan Pelaburan, 1968 mentakrifkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai “apa-apa kajian sistematik atau intensif yang dijalankan dalam bidang sains atau teknologi dengan tujuan untuk menggunakan hasil kajian itu untuk pengeluaran atau penambahbaikan bahan, alat, produk, hasil atau proses, tetapi tidak termasuk:

kawalan mutu atau pengujian rutin bahan, alat, produk atau hasil;
penyelidikan dalam sains sosial atau ilmu kemanusiaan;
pemungutan data rutin;
kaji selidik kecekapan atau kajian pengurusan; dan
penyelidikan pasaran atau promosi jualan.”

Bagi memperkukuhkan lagi asas Malaysia untuk R&D yang lebih bersepadu, syarikat-syarikat yang menjalankan kerja mereka bentuk, pembangunan dan prototaip sebagai aktiviti bebas juga layak mendapat insentif berkenaan.

3.1 Insentif Utama bagi Penyelidikan dan Pembangunan

(i) Syarikat R&D Kontrak

Sebuah syarikat R&D kontrak, iaitu sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan R&D di Malaysia kepada sebuah syarikat selain syarikat berkaitannya, layak mendapat:

Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 100% daripada pendapatan berkanun untuk lima tahun.  Elaun modal tidak diserap dan kerugian terkumpul yang ditanggung semasa tempoh perintis boleh dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan pasca perintis syarikat berkenaan; atau
Elaun Cukai Pelaburan (ITA) 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh sepuluh tahun.  Elaun ini boleh ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.  Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada MIDA.

(ii) Syarikat R&D

Sebuah syarikat R&D, iaitu sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan R&D di Malaysia kepada syarikat berkaitannya atau kepada mana-mana syarikat lain, boleh diberikan Elaun Cukai Pelaburan 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh sepuluh tahun.  Elaun ini boleh ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

Seandainya syarikat R&D itu memilih untuk tidak menggunakan elaun ini, syarikat-syarikat berkaitannya boleh menikmati potongan berganda bagi bayaran-bayaran yang dilakukan kepada syarikat R&D itu untuk perkhidmatan yang telah diberikan.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada MIDA.

Kelayakan:

Syarikat R&D Kontrak dan Syarikat R&D boleh memohon berbagai insentif berkenaan jika memenuhi kriteria berikut:

a. Penyelidikan dijalankan hendaklah memenuhi keperluan negara dan membawa manfaat kepada ekonomi;
b. Sekurang-kurangnya 70% daripada pendapatan syarikat hendaklah diperoleh daripada aktiviti R&D;
c. Bagi R&D berasaskan perkilangan, sekurang-kurangnya 50% tenaga pekerja syarikat mestilah terdiri daripada kakitangan yang berkelayakan sesuai dan melaksanakan fungsi-fungsi penyelidikan dan teknikal; dan
d. Bagi R&D berasaskan pertanian, sekurang-kurangnya 5% tenaga pekerja syarikat mestilah terdiri daripada kakitangan yang berkelayakan sesuai dan melaksanakan fungs-fungsi penyelidikan dan teknikal.

(iii) Penyelidikan Dalaman

Sebuah syarikat yang menjalankan R&D dalaman bagi memajukan perniagaannya boleh memohon Elaun Cukai Pelaburan 50% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh sepuluh tahun.  Syarikat  boleh menggunakan elaun ini untuk ditolak sebanyak 70% (100% bagi kawasan-kawasan digalakkan) daripada pendapatan berkanunnya bagi setiap tahun taksiran.  Sebarang jumlah elaun modal tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya sehingga digunakan sepenuhnya.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada MIDA.

(iv) Insentif Pusingan Kedua

Syarikat/aktiviti R&D yang tersebut dalam kategori (i) – (iii) adalah layak mendapat Taraf Perintis pusingan kedua selama lima tahun lagi, atau ITA untuk sepuluh tahun lanjutan, yang mana berkenaan.

(v) Insentif bagi Pengkomersialan R&D Sektor Awam

Bagi menggalakkan pengkomersialan penemuan-penemuan R&D berasaskan sumber daripada institusi-institusi penyelidikan awam, insentif berikut diberikan:

a. Sebuah syarikat yang melabur dalam anak syarikatnya yang terbabit dalam pengkomersialan penemuan-penemuan R&D akan diberikan pengurangan cukai yang bersamaan jumlah pelaburan yang dilakukan dalam anak syarikat itu; dan
b. Anak syarikat yang menjalankan pengkomersialan penemuan-penemuan R&D adalah layak diberikan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 100% ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

Insentif ini diberikan berdasarkan syarat berikut:

a. Sekurang-kurangnya 70% daripada syarikat yang melabur (syarikat induk) dan syarikat yang menjalankan pengkomersialan projek adalah milik warga Malaysia;
b. Syarikat yang melabur hendaklah memiliki sekurang-kurangnya 70% ekuiti syarikat yang mengkomersialkan penemuan-penemuan R&D;
c. Pengkomersialan penemuan-penemuan R&D hendaklah dilaksanakan dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelulusan insentif.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada MIDA.

3.2 Insentif Tambahan bagi Penyelidikan dan Pembangunan

(i)  Potongan Berganda bagi Penyelidikan dan Pembangunan

Sebuah syarikat boleh menikmati potongan berganda ke atas perbelanjaan hasil (bukan modal) untuk penyelidikan yang dijalankan secara langsung dan diluluskan oleh Menteri Kewangan.
Potongan berganda boleh juga dituntut bagi sumbangan tunai atau derma kepada institusi penyelidikan diluluskan, dan bayaran bagi penggunaan perkhidmatan institusi penyelidikan diluluskan, syarikat penyelidikan diluluskan, syarikat R&D atau syarikat R&D kontrak.
Perbelanjaan R&D diluluskan yang dilakukan semasa tempoh pengecualian cukai boleh dikumpul dan diberi potongan selepas tempoh pengecualian cukai.
Perbelanjaan ke atas aktiviti-aktiviti R&D yang dijalankan di seberang laut, termasuk melatih kakitangan Malaysia, akan dipertimbangkan untuk potongan berganda berdasarkan kes demi kes.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada LHDN.

(ii)  Insentif bagi Penyelidik untuk Mengkomersialkan Penemuan Penyelidikan

Penyelidik-penyelidik yang menjalankan penyelidikan yang memfokus kepada penjanaan nilai akan diberikan 50% pengecualian cukai untuk lima tahun ke atas pendapatan yang mereka perolehi daripada pengkomersialan penemuan-penemuan penyelidikan mereka. Penyelidikan perlu diperakui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tuntutan hendaklah dikemukakan kepada LHDN.

Nota:  Rujuk insentif-insentif lain mengenai R&D.