Menuntut daya saing R&I

SUDAH sampai masanya bagi ekosistem R&I di Malaysia berubah dengan penglibatan yang lebih aktif daripada sektor industri.

TIADA siapa dapat menidakkan kepentingan aktiviti penyelidikan dan inovasi (R&I) dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Kejayaan yang telah ditunjukkan oleh Republik Korea misalnya adalah satu contoh jelas bagaimana sesebuah negara dapat berubah dari negara membangun kepada status negara maju.

Ini dilakukan melalui pertumbuhan ekonomi yang rancak berdasarkan kemajuan dalam penghasilan produk-produk menerusi kegiatan intensif R&I.

Kalau 30 tahun dahulu kita jarang dengar nama-nama seperti Samsung, L&G dan Hyundai, namun kini syarikat-syarikat tersebut adalah gergasi dalam penghasilan pelbagai produk yang secara langsung menjana pendapatan tinggi untuk negara.

Kira-kira 50 tahun dahulu, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan Malaysia lebih kaya daripada Korea.

Tetapi dari 1950-an sehingga kini meningkat cuma 15 kali ganda tetapi pertumbuhan ekonomi republik itu dalam tempoh sama meningkat 117 kali ganda.

Agak menarik juga apabila perbandingan data-data terkini mengenai perbelanjaan R&I dibuat.

Data-data ini yang diperoleh daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) (http:// http://uis.unesco.org/apps/visualisations/research-and-development-spending/) menunjukkan ekosistem R&I di Malaysia perlu berubah dengan penyertaan lebih tinggi daripada sektor industri Malaysia dalam meningkatkan aktiviti R&I.

RANKING, DANA BESAR

Data dalam Jadual 1 menunjukkan peratus perbelanjaan R&I berbanding KDNK bagi 15 negara teratas di dunia. Di samping itu, data-data untuk China, Malaysia dan Thailand juga dimasukkan sebagai perbandingan.

Data-data perbelanjaan ini dipecahkan kepada sumbangan daripada industri, kerajaan dan universiti.

Data secara jelas menunjukkan bahawa jumlah perbelanjaan R&I di Malaysia hanyalah 1.3 % daripada KDNK manakala perbelanjaan Korea (ranking nombor 1) dalam R&I adalah 4.3 % daripada keseluruhan KDNK.

Namun yang lebih ketara adalah nisbah perbelanjaan R&I antara sektor industri dengan kerajaan dan universiti adalah 3.86 kali lebih tinggi.

Tetapi untuk Malaysia, nisbah tersebut adalah 0.84, bermakna dana lebih banyak dikeluarkan oleh kerajaan dan universiti berbanding industri.

Data-data untuk 15 negara tertinggi di dunia juga menunjukkan trend sama di mana sektor industri adalah penyumbang lebih tinggi.

Industri adalah sektor yang perlu memacu aktiviti R&I seterusnya dapat menghasilkan produk-produk inovatif yang boleh bersaing dalam pasaran terbuka.

China walaupun tidak tersenarai dalam 15 negara teratas tetapi memperuntukkan jumlah dana yang sangat besar untuk R&I dan penglibatan industri juga sangat tinggi iaitu nisbah 3.40.

Hatta, Thailand yang memperuntukkan dana R&I yang jauh lebih kecil, tetapi nisbah sektor industri kepada kerajaan dan universiti adalah 1.20 dan ini lebih tinggi daripada Malaysia.

Jadual 1 dengan jelas menunjukkan Malaysia adalah satu-satunya yang menunjukkan nisbah kurang daripada 1.0.

Oleh itu sudah sampai masanya bagi ekosistem R&I di Malaysia berubah dengan penglibatan lebih aktif daripada sektor industri.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai galakan dan insentif untuk pihak industri supaya aktiviti R&I berimpak dapat dipertingkatkan.

Misalnya sumbangan yang dikeluarkan boleh mendapat pengecualian cukai ataupun potongan dua kali ganda.

KURANG SAMBUTAN

Di samping itu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi tujuan R&I dengan menggalakkan penyertaan industri melalui padanan dana.

Namun dana-dana ini kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada industri, mungkin kerana R&I bukan aktiviti strategik syarikat-syarikat.

Universiti awam dan swasta juga sentiasa bersedia membantu membolehkan kerjasama R&I berlaku dengan lebih efektif.

Bilangan penyelidik yang tinggi dengan kelulusan doktor falsafah (PhD) telah berjaya menghasilkan ribuan graduan siswazah di peringkat sarjana dan PhD dengan kepakaran spesifik dalam bidang masing-masing.

Graduan-graduan ini sedang mencari-cari peluang pekerjaan dalam sektor R&I untuk membolehkan mereka menggunakan kepakaran demi menjana idea-idea baharu yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti syarikat dan ekonomi negara.

Oleh itu, komitmen yang tinggi sangat diperlukan di pihak industri bagi menjadikan R&I sebagai satu sektor pertumbuhan strategik syarikat.

Bahagian R&I perlu diwujudkan dalam syarikat yang akan menumpu kepada pembangunan idea-idea inovatif yang dapat membantu meningkatkan perolehan.

Walaupun mungkin pulangan segera tidak dapat diperoleh, namun usaha ini harus dilihat sebagai satu langkah kelestarian perniagaan supaya lebih banyak idea baharu dapat dikembangkan.

Pengalaman syarikat-syarikat di Korea sudah sewajarnya menjadi satu contoh baik bagaimana R&I dapat membantu memperkukuhkan keuntungan syarikat dalam jangka masa panjang.

Di pihak universiti, kami sentiasa terbuka untuk menerima saranan dan idea kerjasama dalam R&I supaya industri dan universiti dapat menggembleng tenaga menghasilkan inovasi-inovasi yang dapat membantu Malaysia menjadi negara maju seperti Korea.

Ini bukannya satu impian kosong tetapi sesuatu yang boleh dijayakan dengan syarat kedua-dua pihak (industri dan universiti) saling membantu dalam mencapai tujuan dan matlamat membantu negara.

Source: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/menuntut-daya-saing-r-i-1.915642

May 10th, 2019|Categories: Home Grown|