Penghasilan inovasi menerusi Program Advance Inventors wajar diteruskan.

Masyarakat negara ini sememangnya terkenal dengan pelbagai produk inovasi, bermula daripada petani sehingga kepada sektor profesional.

Malah, sesetengah daripada mereka (pereka cipta) turut dianugerahkan dengan pelbagai pingat serta hadiah berupa wang tunai mahupun geran penyelidikan oleh agensi kerajaan mahupun pihak swasta yang terlibat.

Namun di mana silapnya apabila sebahagian besar produk inovasi tersebut amat jarang kita temui di pasaran apatah lagi untuk digunakan oleh masyarakat.

Sesetengah idea serta teknologi tersebut akhirnya terkubur begitu sahaja tanpa ada usaha untuk dikomersial bagi menjana pendapatan.

Masalah tersebut amat disedari kerajaan dan baru-baru ini Mara menerusi anak syarikatnya Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) yang terkenal sebagai sebuah pusat yang mengetengahkan bakat serta inovasi tempatan menganjurkan Program Advance Inventors untuk pelajar-pelajar serta pereka cipta dari Institut Kemahiran Mara (IKM).

Menurut Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, pelajar IKM di bawah seliaannya menghasilkan pelbagai inovasi berdasarkan apa yang dipelajari oleh mereka.

“Di IKM kami memiliki pelbagai produk inovasi yang berdaya saing untuk pengkomersialan jika diberi peluang serta digilap dengan cara yang betul.

“Terdapat 13 buah IKM di seluruh negara yang menawarkan sijil dan 10 buah menawarkan diploma serta sebanyak 82 program yang sedang berjalan,” katanya ketika di temui di ibu pejabat Mara, di ibu negara baru-baru ini.

Jelasnya, antara didikan teknikal yang dilaksanakan di setiap IKM tersebut adalah mencipta teknologi serta inovasi baharu yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat masa kini.

“Latihan yang diberikan adalah secara hands on kepada pelajar sehinggalah produk tersebut dapat dihasilkan dan digunakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, rata-rata produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar atau pensyarah IKM tersebut sukar untuk menembusi pasaran kerana kekangan pelbagai faktor.

Justeru, penganjuran Program Advance Inventors dilaksanakan bagi mengatasi cabaran serta kekangan yan dihadapi oleh pereka cipta muda tersebut.

Ujar Ibrahim, program tersebut dibangunkan oleh pihak DDEC, sesuai dengan objektif penubuhannya sebagai sebuah pusat sehenti untuk penjenamaan, produksi dan pembangunan reka bentuk di negara ini .

Program Advance Inventors juga akan diadakan dengan kerjasama pihak Zull Design Autotronic (ZDA) yang diterajui oleh ikon reka cipta , Zulkifli Haron yang telah menghasilkan lebih 2,000 produk sejak pembabitannya dalam perniagaan reka cipta selama lebih 20 tahun lalu.

“Penglibatan pihak ZDA adalah sebagai pemangkin kepada peserta, malah Zulkifli sendiri merupakan lepasan IKM yang kini berjaya menempa nama sebagai pereka cipta terkenal negara,” katanya.

Program itu juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula daripada pengenalan produk, penelitian produk, penjenamaan sehingga ke peringkat pemasaran.

Setiap peserta yang menyertai program tersebut akan melalui lima fasa utama iaitu fasa satu, penerangan mengenai proses pengkomersialan produk, bengkel penilaian produk reka cipta peserta, aspek kewangan pengkomersialan produk, perlindungan harta intelek untuk produk peserta dan sourcing manufacturers.

Seterusnya fasa kedua, setiap peserta perlu memperbaiki serta meningkatkan mutu produk mengikut tugasan yang telah diberi semasa fasa pertama kursus dan peserta perlu melakukan kajian lapangan iaitu commercial viability survey.

Bagi fasa ketiga, setiap peserta akan membentangkan produk yang telah ditambah baik bersama laporan kajian lapangan tersebut.

Terakhir adakah fasa keempat dan ke lima yang masing-masing adalah penghasilan lukisan teknikal bersama proses pendaftaran harta intelek (IP) di Perbadanan Harta Intelek (MyiPO) dan pengiklanan produk di media massa sebelum sedia untuk dikomersialkan.

Produk inovasi tersebut telah dipilih menerusi panel yang dilantik iaitu pihak ZDA berdasarkan beberapa kriteria.

Malah mereka telah mendapat pengiktirafan melalui pertandingan yang telah dijalankan semasa penganjuran Pameran Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, jelas Ibrahim, program tersebut juga sebagai galakan kepada pencipta muda untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak inovasi.

Galakan tersebut perlu disokong dengan membekalkan pengetahuan mereka cipta terlebih dahulu sebelum melaksanakan inovasi yang membolehkan pereka cipta mampu menghasilkan produk inovasi yang kompetitif untuk dikomersialkan seterusnya menjana pendapatan.

Antara objektif program tersebut adalah melatih pereka cipta dalam bidang teknikal inovasi kerana untuk menghasilkan produk inovasi, sewajarnya peserta mempunyai ilmu teknikal asas agar mereka mampu memikirkan mekanisme produk secara total.

Apabila pereka cipta telah membangunkan sesebuah produk inovasi, langkah tersebut tidak harus berhenti di situ sahaja, justeru peserta perlu dibekalkan dengan pengetahuan untuk memperkembangkan produk inovasi yang telah dibangunkan.

Antara hasil yang diharapkan adalah pada akhir program tersebut adalah, peserta yang terpilih akan memiliki produk prototaip yang bukan sahaja berteknologi malah mempunyai nilai komersial dari segi kosmetik dan rupa bentuk untuk dipasarkan.

Peserta juga akan diberi penerangan mengenai cara-cara untuk mewujudkan jenama tersendiri dan seterusnya produk tersebut dapat dipasarkan sama ada di dalam dan luar negara

Malah, mereka juga turut menerima latihan serta pendedahan yang secukupnya untuk memajukan produk mereka sama ada dipasarkan sendiri mahupun menerusi pihak industri yang berminat untuk bekerjasama.

Ini akan dapat membantu mengembangkan industri pembuatan khasnya dan penjanaan ekonomi negara sejajar dengan hasrat untuk menghasilkan modal insan .

Dengan itu Malaysia beransur-ansur bertukar daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar seperti mana yang dilakukan kebanyakan negara-negara maju untuk menjana pendapatan.

Secara umumnya juga, program tersebut dilihat berhubung kait dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) negara menerusi penyediaan kepada akses pendidikan yang bermutu tinggi.

Bidang perindustrian dan pembuatan khususnya relevan kepada negara ketika ini yang sedang pesat membangun untuk mencapai pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi menerusi penghasilan inovasi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_%26_Teknologi/20140616/st_02/Program-Advance-Inventors#ixzz34t0oNRkr
© Utusan Melayu (M) Bhd