KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Bidang neurosains perlu diberi perhatian bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu untuk kepentingan dan keperluan pada masa depan.

Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Dr Mohd Zaidi Ismail berkata ketika masyarakat di Barat giat mengembangkan pengetahuan dalam bidang ini, Malaysia dilihat masih jauh terkebelakang.

“Masyarakat perlu sedar bahawa sains kaji otak dan saraf ini bersangkut-paut dengan pelbagai bidang lain, contohnya seperti fizik, kimia dan psikologi di mana kita harus memahami tunjangnya jika mahu memahami cabangnya dengan lebih mendalam,” katanya kepada Bernama selepas persidangan meja bulat bertajuk ‘Umat Islam dan Neurosains: Antara Tuntutan dan Kewaspadaan’ anjuran Ikim hari ini.

Beliau berkata ketika ini, hanya terdapat tidak lebih 40 pakar dalam bidang itu di Malaysia.

“Kita akan kekal ketinggalan dan perkara ini akan menjadi masalah sekiranya satu hari nanti bidang ini benar-benar memerlukan lebih ramai pakar.

“Oleh itu, IKIM mengambil langkah kesedaran dengan menghimpun sekumpulan pengamal sains dari peringkat akar umbi sehingga pakar di persidangan hari ini untuk membincangkan isu-isu kajian otak dan saraf atau neurosains ini,” katanya.

Persidangan kali ketiga itu menampilkan enam pembentang serta 40 ahli akademik bidang neurosains dan yang berkaitan.

“Sebenarnya, bidang neurosains telah lama wujud namun ia hanya fokus pada rawatan pesakit dan bukan pada penyelidikan yang lebih mendalam,” kata Dr Mohd Zaidi.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memainkan peranan dalam mengembangkan bidang neurosains di negara ini seperti yang dilakukan oleh negara barat.

— BERNAMA