KUALA LUMPUR 12 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa lebih ramai rakyat Malaysia memberi tumpuan pada bidang sains untuk membolehkan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dapat dicapai.

Beliau berkata, selain memberi tumpuan terhadap matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi, pencapaian dalam bidang sains juga akan menentukan sama ada negara berada pada landasan betul untuk menjadi negara maju.

“Malaysia mempunyai keupa­yaan untuk berbuat demikian sekiranya kita berterusan memberi tumpuan kepada bidang sains untuk kehidupan lebih baik.

“Apabila memperkatakan tentang sains, saya fikir adalah pen­ting bagi mata pelajaran (sains) dipelajari dalam bahasa Ingge­ris, jika kita mahu mengikuti perkembangan terkini hasil dapatan kajian di seluruh dunia,” katanya dalam Majlis Anugerah Sains Mahathir 2013 di sini malam semalam.

Penerima anugerah itu, Profesor Alan Cowman, saintis dari Australia menerima US$100,000 (RM321,184), pingat emas dan sijil bagi penyelidikan penting berkaitan malaria.

Sumbangan Cowman itu telah membawa kepada pengenalpastian sasaran lebih baik bagi pembangunan ubat baharu terhadap jangkitan malaria, dan mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan satu daripada masalah kesihatan di kawasan tropika.

Penyelidikan beliau telah membuka laluan untuk membangunkan vaksin khusus bagi jangkitan malaria yang terus menjadi punca kematian jutaan orang di Afrika dan Asia.

Yang turut hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Yayasan Anugerah Sains Mahathir, Tan Sri Samsudin Osman dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali. – BERNAMA