KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Kumpulan Industri-Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi Malaysia (Might) sedang bekerjasama dengan United Kingdom (UK) dan Jepun bagi membiayai projek sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia.

Pengerusi Bersama Might, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid, berkata kerajaan Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Britain bagi menubuhkan Dana Ungku Amar Newton bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri STI tempatan.

“Kerajaan Britain akan memperuntukkan empat juta pound setahun selama lima tahun kepada dana tersebut dan kita juga akan memberikan jumlah yang sama,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini Jumaat.

Zakri yang juga Penasihat Sains kepada Perdana Menteri berkata, satu memorandum persefahaman untuk kerjasama di antara Malaysia dan UK akan ditandatangani tidak lama lagi, dengan menambah empat juta pound perlu dibelanjakan menjelang Mac 2015.

Beliau berkata, bidang keutamaan yang R&D akan tumpukan adalah kesan perubahan iklim ke atas air, tenaga, kesihatan dan jaminan makanan.

Sementara itu, Pemupukan Teknologi Might telah menandatangani beberapa perjanjian dengan Asian Energy Investment Pte Ltd yang berpangkalan di Jepun untuk menubuhkan syarikat pengurusan dana dikenali sebagai Putra Eco Ventures Inc pada September tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Might, Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata objektif dana itu ialah untuk melabur dalam aset tenaga cekap dan boleh diperbaharui dan perniagaan.

“Putra Eco Ventures akan bermula dengan US$10 juta yang akan ditambah lagi jika habis. Kami akan mula dengan Melaka kerana mereka telah mengumumkan pelan tindakan hijau untuk negeri tu.

“Sasaran berpotensi untuk pembiayaan daripada Putra Eco Ventures membabitkan banyak projek seperti grid pintar, aktiviti jimat tenaga serta bangunan pintar,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, syarikat itu akan membiayai projek pelaburan yang mempunyai potensi memberi pulangan 10 peratus atau lebih.



— BERNAMA