GEORGE TOWN, 13 Jun (Bernama) — Sebanyak 245 pelajar dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Mara Kulim, Kedah dan 13 sekolah menengah di negeri ini menyertai pertandingan Cabaran Inovasi di Sains@USM, Bukit Jambul dekat sini bermula hari ini.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Omar Osman berkata pertandingan itu diadakan bersempena Karnival Universiti Penyelidikan yang turut melibatkan Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Kami cuba membawa pelajar peringkat sekolah terutamanya, datang melihat lebih dekat universiti penyelidikan, untuk mempromosi bidang sains otak di luar bilik darjah secara teori dan praktikal.

“USM selaku tuan rumah menyediakan modul soalan merentas sempadan kokurikulum sekolah bertujuan mendidik pelajar secara spontan dan mengupayakan mereka belajar melalui pengalaman sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu.

Omar berkata pertandingan dua hari yang menyediakan hadiah berjumlah RM9,000 itu dibahagikan kepada tiga segmen meliputi Cabaran Kecerdasan Minda, Cabaran Inovatif dan Cabaran Praktikal Saintifik.

Beliau berkata acara kemuncak pada keesokan hari ialah perasmian penutup yang akan disempurnakan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh serta forum khas Universiti-Industri terbuka kepada orang ramai.

Katanya pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan mamogram secara percuma dan menyaksikan pameran racun, mikrob, teknologi hijau serta produk penyelidikan universiti terlibat.



— BERNAMA