KUCHING, 13 Jun (Bernama) — Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan untuk melahirkan modal insan yang berdaya maju dan mampu memacu ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

Beliau berkata kerajaan telah menjadikan pemeluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mencapai matlamat berkenaan.

Katanya IPT harus menjadi sumber rujukan kepada semua pihak dalam pelbagai aspek terutama dalam aspek penyelidikan.

“Penekanan dalam aspek kualiti kurikulum, fasiliti dan melahirkan modal insan yang berkualiti haruslah sentiasa menjadi matlamat utama setiap institusi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadmin Suaidi pada majlis perasmian seminar Pengurusan Asrama peringkat kebangsaan (SPARK) 2014 di sini Khamis malam.

Beliau berkata budaya keusahawanan dalam kalangan graduan harus juga dititikberatkan, dengan setiap institusi memberi pendedahan tentang ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawanan kepada semua graduan.

“Ilmu ini dijadikan peluang kepada graduan agar mendapat ilmu survival dalam kehidupan selepas tamat pengajian.

“Aspek-aspek beginilah yang perlu diperhalusi dalam memastikan bahawa IPT kekal relevan dan menjadi pusat kecemerlangan serta rujukan masyarakat,” kata Fadillah.

Bagaimanapun, katanya tidak ada jalan mudah untuk mencapai maklamat berkenaan dan menambah seluruh warga pendidikan termasuk institusi kolej kediaman dan asrama perlu sentiasa berinovasi dalam meningkatkan kualiti dalam sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Mengenai seminar itu, beliau berkata ia memberi peluang kepada pentadbir kolej kediaman di seluruh IPT untuk mengenal pasti kaedah bagi meningkatkan kecemerlangan pengurusan kolej kediaman dalam menjadikan kolej kediaman sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

SPARK 2014 dianjurkan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) dengan melibatkan 225 peserta yang terdiri daripada pentadbir kolej kediaman pelajar dan pemimpin pelajar di seluruh IPTA/IPTS serta agensi luar yang terlibat dalam pengurusan asrama di Malaysia dan luar negara.

— BERNAMA