Perang teknologi jejas syarikat IT

Syarikat-syarikat tempatan yang bergantung kepada teknologi 5G Huawei Technologies Co. (Huawei) bakal menghadapi masalah jika berlakunya sekatan terhadap pelancaran teknologi berkenaan akibat perang perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, ini kerana Huawei merupakan pelopor kepada teknologi 5G di dunia.

“Sekatan terhadap teknologi berkenaan akan menyebabkan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan atau bergantung kepadanya terjejas. Tindakan ini merupakan sebahagian daripada sekatan perang perdagangan yang dilakukan oleh pihak AS terhadap syarikat China,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan perintah kecemasan kepada semua syarikat di negara itu sebagai menghalang penggunaan peralatan telekomunikasi asing berikutan ancaman keselamatan.

White House memberitahu, perintah itu bagaimanapun tidak menyebut mana-mana syarikat telekomunikasi secara spesifik. Namun sekatan itu jelas dirujuk kepada syarikat pengeluar peralatan telekomunikasi gergasi China, Huawei.

Mengenai prestasi syarikat teknologi di Bursa Malaysia, Ahmed Razman berkata, penurunan nilai saham tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor global seperti perang tarif AS-China.

Bagaimanapun katanya, dalam jangka masa pendek kemelut AS-Huawei akan memberi kesan kepada penurunan nilai saham di Bursa Malaysia dan juga menyebabkan ringgit lemah berbanding dolar.

“Faktor dalaman seperti penjualan ekuiti dan bon secara besar-besaran oleh pelabur asing disebabkan polisi dan dasar ekonomi negara yang masih samar turut mempengaruhi prestasi tersebut.

“Namun bagi kesan jangka panjang, masih lagi ada banyak ketidaktentuan seperti perang tarif AS-China dan sekatan minyak Iran dan Venezuela serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan menyebabkan sukar untuk meramalkan pergerakan saham dan ringgit,” jelasnya.

Sementara itu, Rakuten Trade dalam laporan hariannya berkata, ketegangan perdagangan antara AS dan China kini dilihat sebagai peperangan teknologi susulan AS meletakkan syarikat teknologi gergasi China itu dalam senarai hitam perdagangan dan beberapa syarikat telah menggantung perniagaan bersama firma China itu.

Katanya, kemelut yang berlaku mempunyai kesan terhadap sentimen saham berkaitan teknologi di Bursa Malaysia.

“Situasi ini memberikan peluang kepada para pelabur untuk membeli saham kerana harganya sedang lemah ketika ini,” ujarnya.

 

Source: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/perang-teknologi-jejas-syarikat-it-1.906864

May 7th, 2019|Categories: Techy Talky|