Pandemik COVID-19 mengakibatkan gangguan terhebat yang pernah diperhatikan terhadap dunia pendidikan.

Pada kemuncak serangan virus itu, anggaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan bahawa 90 peratus pelajar seluruh dunia terkesan akibat penutupan sekolah. Pada Mac tahun ini sahaja, penggunaan Google Classroom meningkat dua kali ganda daripada 50 juta kepada 100 juta secara global.

Di Malaysia, penutupan sekolah turut dilaksanakan. Namun, COVID-19 juga mencipta peluang untuk menilai kembali di samping meneroka bagaimana kita boleh menggunakan teknologi untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih mudah diakses, adil, fleksibel dan kukuh.

Hampir dalam sekelip mata, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar di Malaysia terpaksa menyesuaikan diri terhadap cara pembelajaran dan kebergantungan teknologi pada sesuatu tahap tertentu yang sebelum ini tidak pernah kita alami.

Namun, Malaysia menyahut dengan kebingkasan dan keazaman. Jika berpandangan jauh, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk belajar daripada pengalaman terbabit dan menangani cabaran pendidikan yang akan kita hadapi walaupun selepas tamat pandemik ini, terutama cabaran untuk memastikan lebih ramai belia kita mempunyai akses kepada pendidikan bertaraf dunia.

Pada 12 Ogos lalu, Google menganjurkan acara maya global – The Anywhere School – dengan guru, pemimpin sekolah, jabatan pendidikan, perniagaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan membincangkan peranan teknologi dalam masa hadapan pendidikan.

Kami berbesar hati atas peluang berkongsi kisah negara ini dengan kerjasama rakan kami daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Malaysia mampu membentuk perbahasan global ini. Untuk berbuat demikian dan membantu menjadi pemandu sistem pendidikan pasca COVID-19, kita harus menumpukan perhatian kepada tiga keutamaan kritikal dalam sistem pendidikan kita.

Pertama, pihak kerajaan dan syarikat teknologi boleh dan seharusnya bekerjasama dalam menyampaikan teknologi kepada lebih ramai pelajar daripada golongan yang amat memerlukannya.

Pada peringkat tempatan pula, kami menyediakan lima juta tempat buat Google Classroom dan G Suite for Education untuk 10,000 buah sekolah awam di Malaysia, manakala pihak Kementerian Pendidikan serta rakan industri bekerjasama untuk memastikan ketersambungan untuk semua itu menjadi satu kenyataan.

Kedua, kita harus menjadikan kemahiran teknologi dan digital sebagai asas bagi sokongan serta latihan yang diberikan kepada guru.

Kumpulan Google Educators Group kami sangat aktif di Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami teruja untuk meraikan 5,000 penerima pertama daripada program pensijilan guru Google yang akan dianjurkan pada minggu-minggu akan datang.

Ketiga, semua sekolah harus dilengkapi dengan sistem teknologi yang cukup kuat untuk disesuaikan ketika krisis seperti sebuah pandemik, tetapi masih mampu memberikan faedah kepada guru dan pelajar secara lebih meluas melalui latihan dan tunjuk ajar yang sepatutnya.

Inisiatif pembelajaran hibrid DELIMa diterajui Kementerian Pendidikan – yang disertai Google dengan bangganya — membuktikan kesediaan seluruh Malaysia untuk memikirkan semula sistem pendidikan awam demi norma baharu. Kita mungkin tidak akan melihat lagi bagaimana hampir semua pelajar Malaysia terpaksa belajar di rumah sebagaimana ketika sekatan pergerakan COVID-19.

Tetapi, kita kini tahu bahawa fleksibiliti yang ditawarkan pendidikan jarak jauh adalah berguna buat banyak keluarga dan pelajar yang sebelum ini tidak mempunyai pilihan dalam menggunakannya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mahupun yang tidak selalunya mempunyai pengangkutan ke sekolah.

Mungkin masih terlalu awal untuk mengetahui realiti masa hadapan pendidikan, namun ia jelas integrasi teknologi dan pembelajaran digital yang lebih mendalam mampu membantu menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan lebih saksama walaupun lama selepas berakhirnya COVID-19 nanti.

Usaha sama diperlukan untuk mencapai semua ini. Salah satu iktibar sekatan pergerakan COVID-19 adalah bagaimana tekanan pendidikan tidak boleh digalas hanya oleh pihak sekolah dan barisan guru Malaysia sahaja. Cara pendidikan disediakan sangat mempengaruhi cara hidup, cara kerja dan cara kita membesarkan anak-anak.

Kita semua memainkan peranan dalam menyokong tugas adiwira barisan guru kita baik daripada pihak ibu bapa, ahli politik, peneraju perniagaan hinggalah ke syarikat teknologi. Tiada tujuan yang lebih penting selain memastikan generasi seterusnya memperoleh pendidikan yang terbaik.

Teknologi tidak akan ‘menyelesaikan’ semua cabaran yang dihadapi sistem pendidikan kita, namun ia mampu menyediakan alat yang diperlukan guru, pelajar dan ibu bapa untuk terus maju dan membantu pembentukan masa hadapan pembelajaran yang lebih baik. Dalam dunia pasca virus COVID-19 ini, Malaysia boleh dan seharusnya menjadi sebahagian daripada perubahan itu.

 

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/08/723583/teknologi-digital-akses-pendidikan-bertaraf-dunia